Amaran cuaca panas cecah 40°C di Padang Terap

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) di Padang Terap, Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suhu maksimum dijangka 37 hingga 40°C sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
  • 12 kawasan lain pada amaran tahap satu; suhu 35 hingga 37°C sekurang-kurangnya tiga hari, termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Langkawi.
  • Gempa sederhana magnitud 5.0 di Barat Daya Sumatera; tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dilaporkan.

Suhu maksimum harian dijangka mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, sebanyak 12 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) melibatkan Perlis serta Kedah.

Antara kawasan terlibat ialah Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.

Menurut kenyataan itu, amaran tahap satu (1) turut melibatkan kawasan Timur Laut di Pulau Pinang, Hulu Perak di Perak serta Rembau di Negeri Sembilan.

“Bagi tahap berjaga-jaga, suhu maksimum harian adalah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia.

Sementara itu, MetMalaysia turut memaklumkan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 berlaku di Barat Daya Sumatera, Indonesia pada pukul 2.08 pagi Ahad.

Gempa berkenaan berpusat pada koordinat 7.8 darjah selatan dan 104.6 darjah timur dengan kedalaman 121 kilometer serta berada kira-kira 260 kilometer barat daya dari Cilegon, Indonesia.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dilaporkan.