Pupuk penghuni berilmu: WTCKL sumbang 4,318 buku kepada Penjara Kajang

Sebahagian daripada 4,318 buah buku yang disumbangkan WTCKL kepada Penjara Kajang

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Sebanyak 4,318 buku disumbangkan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) kepada Penjara Kajang menerusi Kempen Sumbangan Buku (Book Donation Drive) 2026 bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan penghuni penjara.

RINGKASAN BERITA AI
  • WTCKL menyerahkan pelbagai buku, termasuk buku keagamaan, novel, biografi, komik, rujukan dan resipi, serta tiga unit rak buku.
  • Inisiatif tahun ketiga itu bertujuan memupuk budaya membaca dan memberi peluang penghuni memperbaiki diri serta membina masa depan melalui ilmu.
  • Kempen diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa KL 2026 dengan tiga lokasi pengumpulan bagi memudahkan penyertaan orang ramai.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, berkata sumbangan itu merangkumi pelbagai genre termasuk buku keagamaan, novel, biografi, komik, buku rujukan dan buku resipi, selain tiga unit rak buku.

Beliau berkata, inisiatif yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu bertujuan menyokong pembangunan komuniti melalui pembudayaan membaca, selain memberi peluang kepada penghuni Penjara Kajang membina masa depan yang lebih baik menerusi ilmu pengetahuan.

“Di WTCKL, kami percaya setiap insan mempunyai peluang untuk memperbaiki diri dan membina masa depan yang lebih baik. Menerusi Book Donation Drive ini, kami berharap bahan bacaan yang disumbangkan dapat membantu penghuni Penjara Kajang menimba ilmu dan meneroka perkembangan dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Datuk Seri Dr. Irmohizam (tengah) pada majlis penyerahan sumbangan buku kepada Penjara Kajang

Kempen Book Donation Drive diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di WTCKL dari 29 Mei hingga 7 Jun lalu.

Bagi memudahkan orang ramai menyertai inisiatif itu, tiga lokasi pengumpulan buku disediakan di sekitar WTCKL sepanjang tempoh penganjuran pesta berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.