PRU16: Amanah sasar satu kerusi di Wilayah Persekutuan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Januari — Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

RINGKASAN BERITA AI
  • Amanah sedang perkuatkan kesatuan dalaman dan jentera parti sebagai persediaan menghadapi PRU16.
  • Rundingan pembahagian kerusi masih diurus jawatankuasa; kerjasama Kerajaan Perpaduan belum dimuktamadkan.
  • Amanah sasar memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan, tumpu pada Putrajaya dan Labuan.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, fokus utama parti ketika ini adalah memperkukuh kesatuan dalaman serta memantapkan jentera parti berasaskan pengalaman pilihan raya lalu, bagi memastikan Amanah berada dalam keadaan terbaik menghadapi sebarang kemungkinan.

Khalid turut menjelaskan bahawa rundingan pembahagian kerusi masih berada di bawah tanggungjawab jawatankuasa rundingan parti, manakala status kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan juga belum dimuktamadkan.

“Sama ada kita akan menghadapi PRU16 sebagai satu blok Perpaduan atau secara berasingan, termasuk kemungkinan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) menguji kekuatan masing-masing, perkara itu masih belum diputuskan.

“Namun, Amanah mesti sentiasa bersedia,” katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran atau pengagihan kerusi antara parti komponen PH di Wilayah Persekutuan seperti Parlimen Setiawangsa, Wangsa Maju dan Batu.

“Sekiranya bukan Amanah yang bertanding, kita tetap akan turun sepenuh kekuatan membantu rakan-rakan komponen,” tambahnya.

Ujar Khalid, Amanah menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, dengan Putrajaya dan Labuan dikenal pasti sebagai kerusi terbuka untuk ditandingi.

Sementara itu, bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Amanah menyatakan kesediaan untuk mempertahankannya sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan pertandingan empat penjuru melibatkan PH, BN, PAS dan Bersatu sekiranya rundingan kerusi gagal mencapai kata putus.