fb fb fb fb fb

Program Wanita Gig@Bit, perkasa usahawan wanita dalam teknologi digital

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Seramai 350 peserta menyertai Program Wanita Gig And Business In Technology (Gig@Bit) 2025, satu platform khusus untuk wanita, ke arah memberdayakan serta memperkasakan golongan itu dalam keusahawanan berasaskan teknologi digital.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, ia antara inisiatif kementerian itu bagi mempertingkat serta menambah kemahiran sedia ada dalam kalangan usahawan wanita serta surirumah yang ingin menjana pendapatan sebagai usahawan digital.

"Jadi, inisiatif ini lebih tertumpu kepada aspek peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan penambahbaikan kemahiran (upskilling), khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan kemahiran terkini seperti kecerdasan buatan (AI).

"Pengetahuan ini amat penting untuk wanita yang ingin menerajui bidang keusahawanan. Mereka perlu didedahkan dan diperkenalkan kepada aspek-aspek digital agar dapat bersaing dalam dunia perniagaan masa kini.

"Segala usaha ini adalah hasil kerjasama strategik antara kita dan rakan-rakan kolaborator yang berkongsi misi yang sama - iaitu untuk memperkasakan wanita agar mampu menjana pendapatan dan berdikari secara ekonomi," katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Nancy berucap serta melancarkan Program Wanita Gig And Business In Technology (Gig@Bit) 2025 di ibu negara.

Dalam ucapannya, beliau optimis, program tersebut dapat menjadi pemangkin untuk memastikan wanita dapat membina ketahanan,terus berdaya saing serta mampu melangkah lebih jauh, yakin dan berani dalam mendepani bidang keusahawanan kontemporari.

"Wanita Gig@ BIT ialah inisiatif Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang memberi peluang ekonomi digital kepada wanita, sambil membina daya tahan digital untuk menghadapi cabaran dunia moden.

"Program ini menyasarkan akses lebih besar kepada sektor seperti STEM, Teknologi Kecerdasan Buatan (AI), teknologi hijau dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta membekalkan ilmu dan kesedaran keselamatan siber, iaitu aspek yang semakin penting hari ini.

"Kita maklum bahawa sindiket penipuan kewangan sering menjadikan wanita sebagai sasaran melalui mesej palsu, pelaburan palsu dan penyamaran identiti. Oleh itu, wanita yang celik digital bukan sahaja akan menjadi lebih berdaya saing, tetapi juga lebih selamat, bijak dan yakin dalam membuat keputusan di ruang digital," tambahnya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI