
TANJUNG MALIM, 5 April -Program Uzbekistan Young Scientist @ UPSI: Research Collaboration and Capacity Building Programme sedang berlangsung sebagai platform pemerkasaan kepakaran bersama dalam bidang bandar pintar, ekonomi hijau, pendidikan alam sekitar, penerbitan berimpak tinggi serta metodologi pembelajaran berasaskan pengalaman.
- Kolaborasi strategik antara UPSI dan Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Republik Uzbekistan memperkukuh hubungan pendidikan tinggi.
- Inisiatif menumpukan pembangunan modal insan, teknologi hijau dan inovasi bandar selaras agenda pengantarabangsaan UPSI dan kerjasama serantau.
- Program melibatkan 31 saintis muda Uzbekistan, dilaksanakan Mac hingga Mei 2026 di beberapa lokasi termasuk UPSI dan pulau-pulau.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun berkata, program itu adalah hasil kolaborasi strategik antara UPSI dan Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi, Republik Uzbekistan.
“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Uzbekistan yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan global, teknologi hijau serta inovasi bandar pintar selaras dengan agenda pengantarabangsaan UPSI dan pemerkasaan kolaborasi strategik serantau,” katanya.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia bersama Pengarah IMAC, Prof Dr Ramlee Ismail di Kuala Lumpur pada 26 Mac lalu.
Program itu melibatkan 31 saintis muda dari Republik Uzbekistan bermula 23 Mac hingga 22 Mei 2026 yang diadakan di beberapa lokasi termasuk UPSI, Kuala Lumpur; Seberang Perai, Pulau Pinang; Pulau Pangkor, Perak serta Pulau Langkawi, Kedah.