Hari Ibu: Peluang terakhir membalas kasih

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjaga ibu ketika sakit adalah peluang membalas jasa dan menzahirkan kasih melalui perhatian serta kesabaran.
  • Membantu ibu beribadah mengikut kemampuan, seperti bertayamum atau mengingatkan waktu solat, sangat bermakna.
  • Kata-kata ringkas anak seperti "mak kuat" mampu menjadi penawar dan menyalakan harapan dalam hati ibu.
  • Penjaga juga perlu jaga diri, berehat dan berkongsi tanggungjawab supaya dapat terus memberi yang terbaik kepada ibu.

Setiap tahun, Hari Ibu diraikan dengan bunga, hadiah dan ucapan penuh kasih sayang. Namun bagi sesetengah anak, penghargaan kepada ibu diterjemahkan dalam bentuk yang jauh lebih mendalam.

Contohnya menjaga beliau ketika sakit, menemani di hospital, dan setia berada di sisi ketika tubuh yang suatu ketika dahulu begitu kuat, semakin lemah dimamah usia dan penyakit. Pada saat itulah seorang anak benar-benar memahami makna kasih seorang ibu.

Wanita yang dahulu mendukung kita ketika kecil, berjaga malam ketika kita demam, dan tidak pernah jemu mendoakan kebahagiaan anak-anaknya, kini memerlukan tangan kita pula untuk membantunya bangun, menyuap makanan, membetulkan bantal dan mengusap dahinya dengan penuh kasih sayang.

Saat Seorang Anak Membalas Jasa

Menjaga ibu yang sakit bukanlah tugas yang mudah. Ia menuntut kekuatan fizikal, kestabilan emosi dan kesabaran yang tidak bertepi.

Ada hari-hari yang dipenuhi keletihan. Ada malam-malam yang dihiasi kebimbangan. Ada ketika hati terasa sebak melihat wanita yang pernah menjadi tempat bergantung seluruh keluarga kini terbaring lemah di atas katil hospital.

Namun di sebalik segala kepayahan itu, terselit satu nikmat yang tidak ternilai iaitu peluang untuk membalas sedikit daripada pengorbanan seorang ibu.

Hakikatnya, sebesar mana pun pengorbanan seorang anak, ia tidak akan pernah setanding dengan kasih sayang yang telah dicurahkan oleh seorang ibu sepanjang hidupnya.

Ketika sakit, ramai pesakit merasakan mereka tidak lagi mampu menunaikan ibadah seperti biasa. Ada yang tidak boleh berdiri, tidak mampu berwuduk, bahkan ada yang menyangka kewajipan solat gugur kerana uzur. Di sinilah peranan anak menjadi sangat penting.

Membantu ibu bertayamum, mengingatkan waktu solat, atau sekadar membacakan doa di sisinya mungkin kelihatan kecil, tetapi sangat besar maknanya. Rasulullah SAW bersabda:

“Solatlah kamu berdiri. Jika tidak mampu, maka duduk. Jika tidak mampu, maka berbaring.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan kita bahawa walau dalam keadaan sakit, hubungan seorang hamba dengan Allah SWT tetap boleh diteruskan mengikut kemampuan.

Kata-Kata Anak Menjadi Penawar

Penyakit bukan sahaja melemahkan tubuh, tetapi juga menggugat emosi. Ibu yang sedang sakit mungkin berasa sedih kerana tidak lagi mampu mengurus dirinya sendiri. Ada yang berasa bersalah kerana merasakan diri menyusahkan anak-anak.

Dalam keadaan itu, kata-kata seorang anak boleh menjadi penawar yang sangat bermakna.

“Mak kuat.”
“Insya-Allah mak akan sembuh.”
“Kami semua ada di sisi mak.”

Ungkapan yang ringkas ini mungkin kelihatan biasa, tetapi mampu menyalakan semula harapan dalam hati seorang ibu.

Kadangkala, apa yang paling diperlukan oleh seorang ibu bukanlah ubat semata-mata, tetapi keyakinan bahawa dirinya masih disayangi, dihargai dan tidak pernah menjadi beban.

Pengalaman menjaga ibu di hospital mengajar kita bahawa kebahagiaan hidup sebenarnya sangat sederhana.

Apabila ibu hanya mampu memberi respons melalui pandangan mata, setiap senyuman kecil menjadi hadiah yang amat berharga.

Apabila beliau menggenggam tangan kita dengan lemah, seolah-olah seluruh kasih sayang seorang ibu disampaikan tanpa kata-kata.

Pada saat-saat seperti itu, kita belajar bahawa kehadiran adalah bahasa cinta yang paling tulus.

Penjaga Juga Perlukan Kekuatan

Dalam kesibukan menjaga ibu, ramai anak terlupa bahawa mereka juga manusia biasa yang mempunyai batas tenaga dan emosi.

Keletihan yang berpanjangan boleh menguji kesabaran dan menjejaskan ketenangan diri.

Oleh itu, anak yang menjaga ibu juga perlu berehat, berkongsi tanggungjawab dengan adik-beradik dan mendapatkan sokongan daripada orang terdekat.

Menjaga diri bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, ia satu keperluan agar kita terus mampu memberikan yang terbaik kepada ibu.

Amanah yang Tidak Semua Orang Miliki

Tidak semua orang diberi peluang untuk menjaga ibu ketika beliau sedang sakit. Bagi yang masih mempunyai kesempatan itu, hargailah setiap detik. Mungkin hari ini kita menyuapkan makanan ke mulutnya.

Mungkin hari ini kita membetulkan bantalnya. Mungkin hari ini kita membacakan doa di telinganya.

Semua itu mungkin kelihatan kecil, tetapi di sisi Allah SWT, ia adalah amal yang sangat besar nilainya.

Bagi mereka yang pernah melalui pengalaman menjaga ibu yang sakit hingga ke akhir hayat, kehilangan itu sememangnya meninggalkan kekosongan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Namun, di sebalik kesedihan tersebut, hadir satu rasa syukur yang mendalam kerana diberi peluang untuk berbakti, menyantuni dan berada di sisi ibu pada saat beliau paling memerlukan kasih sayang seorang anak.

Kesempatan itu menjadikan mereka tidak dibelenggu rasa ralat atau penyesalan, kerana mereka tahu telah berusaha memberikan yang terbaik kepada insan yang paling berjasa dalam hidup mereka.

Sesungguhnya, kasih seorang anak tidak mungkin mampu membalas seluruh pengorbanan seorang ibu. Namun, peluang untuk menjaga ibu ketika sakit merupakan anugerah yang sangat bernilai satu pengalaman yang, walaupun sarat dengan air mata dan keletihan, akhirnya meninggalkan ketenangan dalam jiwa.

Apabila ibu kembali ke rahmatullah, yang tinggal bukan sekadar kenangan, tetapi juga rasa syukur kerana amanah seorang anak telah ditunaikan sebaik mungkin.

Selamat Hari Ibu

Sempena Hari Ibu, marilah kita menghargai ibu bukan hanya dengan ucapan dan hadiah, tetapi dengan kasih sayang yang diterjemahkan melalui perhatian, kesabaran dan kehadiran.

Jika ibu masih ada, peluklah beliau dan luangkan masa bersamanya. Jika ibu sedang diuji dengan kesakitan, jagalah beliau dengan penuh ihsan. Dan jika ibu telah kembali ke rahmatullah, teruskan menghadiahkan doa yang tidak pernah putus.

Kerana sesungguhnya, ketika tangan ibu mulai lemah, tangan anaklah yang menjadi penguat. Dan ketika suara ibu semakin perlahan, doa anaklah yang akan terus bergema hingga ke langit.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Mazlina Che Malek
Pensyarah
Jabatan Pengurusan Perniagaan,
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan,
Universiti Islam Selangor
E-mel: mazlinamalek@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.