Mampukah AI mengurus kewangan dengan lebih baik?

RINGKASAN BERITA AI
  • AI kurang terpengaruh emosi, menawarkan analisis data dan disiplin dalam pelaksanaan strategi kewangan.
  • Risiko kebergantungan dan kekurangan kefahaman terhadap operasi AI boleh melemahkan kebolehan pengurusan kewangan kendiri.
  • Isu privasi dan keselamatan data menuntut pengguna menilai platform serta menggabungkan pertimbangan manusia dalam keputusan besar.

SAUDARA PENGARANG

Kita sering mendengar nasihat yang sama daripada pakar kewangan seperti berbelanjalah secara berhemah, tingkatkan kadar simpanan dan melaburlah dengan bijak. Walaupun kedengaran mudah, realitinya ramai rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran untuk mengurus kewangan peribadi dengan berkesan.

Dalam konteks ini, kemunculan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat pengurusan kewangan menimbulkan persoalan yang semakin relevan – mampukah teknologi ini menguruskan kewangan kita dengan lebih baik berbanding diri kita sendiri?

Jawapannya tidak semudah ya atau tidak. Ia bergantung kepada bagaimana teknologi ini digunakan dan tahap kesediaan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan digital.

Keterbatasan Manusia dalam Membuat Keputusan Kewangan

Secara umumnya, emosi semasa mampu mempengaruhi keputusan kewangan individu. Tekanan, kerisauan berkaitan masa hadapan, keadaan ekonomi yang tidak menentu, dan keinginan untuk ganjaran segera sering mempengaruhi corak perbelanjaan, simpanan dan pelaburan individu.

Keadaan ini boleh membawa kepada keputusan kewangan yang kurang rasional, seperti berbelanja secara impulsif atau mencairkan pelaburan pada masa yang tidak sesuai.

Selain itu, faktor sosial seperti pengaruh rakan sebaya dan media sosial turut memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat kewangan individu. Keinginan untuk mengekalkan gaya hidup tertentu kadangkala mendorong individu membuat keputusan yang tidak selari dengan kemampuan sebenar mereka.

Di sinilah kelebihan AI menjadi jelas. Sistem berasaskan AI beroperasi menggunakan data dan algoritma, tanpa dipengaruhi oleh emosi. Justeru, ia mampu mengekalkan disiplin dalam pelaksanaan strategi kewangan, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan yang berpunca daripada reaksi emosi manusia.

Kemudahan dan Kebolehcapaian Lebih Luas

Perkembangan teknologi telah membuka akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih menyeluruh kepada pelbagai lapisan masyarakat. Aplikasi berasaskan AI dan platform robo-advisor kini membolehkan individu menjejak perbelanjaan, merancang bajet, dan melabur dengan lebih mudah serta pada kos yang lebih rendah.

Bagi masyarakat umum, ia merupakan satu perkembangan positif. Ianya bukan sahaja memudahkan pengurusan kewangan, malah berpotensi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, kemudahan ini juga membawa cabaran tersendiri seperti berikut:

1. Risiko Kebergantungan kepada Teknologi

Apabila proses membuat keputusan menjadi terlalu automatik, terdapat risiko pengguna menjadi terlalu bergantung kepada sistem. Dalam jangka masa panjang, kebergantungan ini boleh menghakis keupayaan individu untuk memahami dan mengurus kewangan secara berdikari.

Lebih membimbangkan, tidak semua pengguna memahami dengan jelas bagaimana sistem AI berfungsi. Keputusan yang diberikan sering diterima tanpa penilaian yang kritikal, seolah-olah teknologi tersebut sentiasa tepat. Hakikatnya, AI tetap bergantung kepada data dan andaian tertentu, dan tidak terlepas daripada kelemahan.

Selain itu, kebergantungan berlebihan kepada teknologi juga boleh menyebabkan pengguna kurang peka terhadap kedudukan kewangan mereka. Tanpa pemantauan aktif, individu mungkin terlepas pandang isu penting seperti peningkatan perbelanjaan atau penurunan pendapatan.

2. Kekangan AI dalam Memahami Konteks Kehidupan

Sungguhpun AI cekap dalam menganalisis data, ia tidak mampu memahami sepenuhnya konteks kehidupan manusia. Faktor seperti tanggungan keluarga, perancangan masa hadapan, atau situasi kecemasan tidak semestinya dapat ditafsirkan dengan tepat oleh sistem.

Keputusan kewangan bukan sekadar soal angka, tetapi juga melibatkan nilai, keutamaan, dan pertimbangan peribadi. Oleh itu, peranan manusia masih penting untuk memastikan keputusan yang dibuat selaras dengan keperluan sebenar.

3. Isu Privasi dan Keselamatan Data

Penggunaan aplikasi kewangan berasaskan AI memerlukan akses kepada data peribadi yang sensitif seperti maklumat peribadi, jumlah pendapatan dan perbelanjaan. Walaupun ini membolehkan sistem berfungsi dengan lebih efektif, ia juga menimbulkan kebimbangan dari segi privasi dan keselamatan.

Dalam era digital, risiko kebocoran dan penyalahgunaan data tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, pengguna perlu menilai tahap kepercayaan terhadap platform yang digunakan serta memahami risiko yang mungkin timbul. Kesedaran berkaitan aspek keselamatan siber sangat perlu dititikberatkan demi memastikan maklumat peribadi tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pendekatan Seimbang sebagai Jalan Terbaik

Mengambil kira kelebihan dan kekangan yang ada, pendekatan yang paling sesuai adalah menggabungkan penggunaan AI dengan pertimbangan manusia. AI boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan dan disiplin dalam aspek tertentu, seperti pengurusan bajet dan pelaburan asas.

Namun, keputusan kewangan yang lebih besar dan kompleks tetap memerlukan pertimbangan yang lebih menyeluruh, termasuk faktor peribadi yang tidak dapat dinilai sepenuhnya oleh teknologi.

Pendidikan kewangan yang berterusan juga penting agar pengguna tidak hanya bergantung kepada sistem, tetapi juga memahami rasional di sebalik setiap keputusan kewangan yang dibuat.

Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa persoalan sama ada AI mampu mengurus wang dengan lebih baik daripada manusia tidak mempunyai jawapan yang mutlak. AI sememangnya menawarkan kelebihan dari segi konsistensi dan analisis data, manakala manusia mempunyai keupayaan untuk memahami konteks dan membuat pertimbangan yang lebih holistik.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh teknologi, cabaran sebenar bukanlah memilih di antara manusia atau mesin, tetapi bagaimana untuk memanfaatkan kedua-duanya secara seimbang.

Pada akhirnya, tanggungjawab terhadap pengurusan kewangan tetap terletak pada diri individu itu sendiri. Teknologi boleh membantu, tetapi keputusan akhir tetap memerlukan ilmu pengetahuan, penilaian dan kebijaksanaan manusia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Norlita Zainudin
Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Kewangan,
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norlita@uis.edu.my


Dr. Noor Aimi Mohamad Puad
Pensyarah Kanan, Jabatan Kewangan
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: nooraimi@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.