fb fb fb fb fb

Program pembangunan profesionalisme guru akan dipertingkatkan - KPM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Kementerian Pendidikan berusaha untuk meningkatkan kompetensi dan kebolehan guru dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran, PdP menerusi program pembangunan profesionalisme guru. 

Antara program pembangunan profesionalisme guru yang dilaksanakan termasuklah Pendidikan Sains, Matematik dan Sains Komputer Berasaskan Inkuiri serta Projek Bimbingan Eksekutif STEM (STEMEC).


(Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon)

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, KPM memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan di luar bilik darjah. Pada masa yang sama, penerapan elemen Sekolahku SEJAHTERA seperti eksplorasi dan artikulasi menjadi fokus untuk menyediakan peluang kepada murid  mencipta idea baharu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang STEM.

"Aktiviti PdP berkaitan bidang STEM dioptimumkan melalui pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan inkuiri dalam konteks dunia sebenar.

"Aktiviti tersebut diberi penekanan dalam Projek Bimbingan Eksekutif STEM (STEMEC) bagi menghasilkan pembelajaran bermakna. Bahan sokongan bagi pelaksanaan aktiviti di bawah Projek STEMEC turut disediakan dalam bentuk modul e-pembelajaran iaitu Modul Pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) STEM Bersepadu yang mengandungi video, bahan bacaan, garis panduan dan contoh aktiviti," katanya

Tambah beliau, Aktiviti PdP berkaitan STEM khususnya dalam amali Sains adalah lebih mudah difahami dan menyeronokkan apabila dilaksanakan di luar bilik darjah. 
Justeru, Kementerian Pendidikan berusaha untuk memastikan makmal sains di setiap sekolah adalah lengkap dan selesa bagi tujuan tersebut. Pada masa ini, sebanyak 1,216 buah makmal sains telah siap diubah suai dan naik taraf.   

Datuk Dr Mah menjawab pertanyaan senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dalam usaha menarik minat murid dalam subjek STEM.

Media Baharu