
KUALA KANGSAR, 4 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan berjumlah RM800,000 bagi kerja-kerja mengganti sistem penyaman udara dan elektrikal di Dewan Hargreaves, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
- Kerja baik pulih bertujuan memastikan warga MCKK mendapat kemudahan selesa untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program.
- Anwar, sebagai alumni, memuji sejarah panjang MCKK dan sumbangannya melahirkan pemimpin serta tokoh negara.
- Majlis Temu Anwar Bersama Warga MCKK bertemakan "MCKK, Kepimpinan dan Masa Depan Malaysia MADANI" dihadiri pemimpin pendidikan negeri dan persekutuan.
- Anwar kenang zaman pelajar cemerlang, aktif Persatuan Bahasa Melayu dan pemidato; MCKK membentuk asas kepimpinan beliau.
Kerja baik pulih itu bertujuan memastikan warga MCKK dapat menggunakan kemudahan yang lebih selesa bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan program.
Datuk Seri Anwar yang juga alumni MCKK berkata, institusi berkenaan mempunyai sejarah panjang serta kejayaan membanggakan dalam melahirkan ramai pemimpin dan tokoh negara dalam pelbagai bidang.
“Rasanya tentunya bangga melihat kembali ke sekolah yang pendidik berikan pendedahan, pencerahan, latihan selama tujuh tahun.
“Saya mengulangi kenyataan dan penghargaan kepada guru-guru serta rakan atas jasa dan khidmat mereka yang tidak terdaya saya lupakan dan tidak mampu saya balas walau dengan apa jua nilai kerana budi mereka sangat tinggi dan mulia.
“Saya harap anak-anak dapat terus menjadikan institusi ini gemilang, bukan semata-mata kerana sejarahnya, tetapi dengan harapan tinggi yang terus dipikul generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Anwar Bersama Warga MCKK, hari ini.
Program bertemakan “MCKK, Kepimpinan dan Masa Depan Malaysia MADANI” itu turut dihadiri Exco Pendidikan Perak yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who.
Datuk Seri Anwar menerima pendidikan menengah di institusi berkenaan dari tahun 1960 hingga 1966.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau dikenali sebagai pelajar cemerlang serta aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu selain menyerlah sebagai pemidato.
MCKK yang turut dikenali sebagai “Eton of the East” menjadi antara fasa penting dalam membentuk asas kepimpinan beliau sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya.