
SUNGAI PETANI, 7 Januari– Sebahagian besar penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini beralih kepada Program Jualan Agro MADANI (PJAM) kendalian Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih menjimatkan.
- Penerima STR beralih ke PJAM kerana tawaran harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran biasa.
- PJAM meringankan kos sara hidup dan memberi platform langsung kepada usahawan PPK memasarkan produk mereka.
- LPP aktif menganjurkan siri PJAM dan Jualan Agro MADANI Mega untuk tingkatkan akses dan penjimatan kepada pengguna.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata trend pembelian dalam jumlah yang banyak dikesan dalam kalangan penerima STR ekoran tawaran harga yang jauh lebih rendah, iaitu sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran biasa.
Menurut beliau, PJAM bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah menjadi platform strategik bagi usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.
“Kita menyarankan penerima STR memanfaatkan program ini sepenuhnya. Jangan hanya berbelanja di pasar raya yang tidak menawarkan potongan harga sedemikian.”
“Di sini, nilai wang mereka lebih besar kerana penjimatan yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Road To Jualan Agro MADANI Mega, Zon Tengah LPP Kedah, di sini.
Hadir sama Pengarah LPP Kedah, Dzulfadli Johan.
Mengulas mengenai penganjuran di peringkat negeri, Datuk Mahfuz memaklumkan sebanyak 120 siri PJAM telah dilaksanakan di Kedah dalam tempoh empat bulan (Julai hingga Oktober tahun lalu) melibatkan peruntukan berjumlah RM662,400.
Sebagai kesinambungan, LPP akan menganjurkan Jualan Agro MADANI Mega pada 30 Januari hingga 2 Februari ini di Alor Setar dengan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000.
Acara tersebut bakal menghimpunkan gerai usahawan, pameran agensi kerajaan, serta jualan produk hiliran PPK.