fb fb fb fb fb

Pembangunan Kampung Baru Cina, KPKT peruntuk lebih RM120 juta

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua, kanan) menandatangani plak ketika menghadiri program perasmian Projek Bina Baharu Rumah Kampung Rimba Panjang, di Sungai Siput / Foto Bernama

SUNGAI SIPUT, 25 Januari – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membelanjakan sebanyak RM121.38 juta bagi projek pembangunan Kampung Baru Cina sepanjang tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peruntukan itu melibatkan pelaksanaan program dan geran sosioekonomi di 613 Kampung Baru Cina di seluruh Semenanjung.

“Tahun lalu, sebanyak 934 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan peruntukan melebihi RM107 juta termasuk kerja menaik taraf jalan, longkang, gelanggang bola keranjang, balai raya, dewan orang ramai dan kemudahan lain.

"Selain itu, sebanyak 282 rumah penduduk berpendapatan rendah telah dibaik pulih melalui Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) di bawah slogan Rumahku Syurgaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Bina Baru Rumah di Kampung Baru Rimba Panjang, di sini.

Selain itu, KPKT turut membina 21 rumah baharu untuk penduduk yang rumahnya tidak selamat didiami di bawah Program Rumah Madani Rakyat.

Kor Ming turut memaklumkan bahawa baki peruntukan sebanyak RM144.6 juta di bawah Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru (PKBC) masih tersedia untuk dipohon.

“Dana ini bertujuan membantu penduduk Kampung Baru Cina membayar premium pajakan tanah, menyokong perniagaan kecil, dan menaik taraf rumah mereka,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN