MyKLIA, MyPutrajaya MTC ringan kos hidup, respons terhadap krisis bekalan global – Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) di Majlis Pelancaran Pas Bulanan KLIA Transit MyKLIA dan MyPutrajaya MTC/Foto Bernama

SEPANG, 5 Mei – Inisiatif MyKLIA Monthly TravelCard (MTC) dan MyPutrajaya MTC bantu ringankan kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyKLIA dan MyPutrajaya MTC ringankan kos sara hidup melalui pas bulanan tambang lebih rendah.
  • MyKLIA eksklusif untuk warga kerja KLIA; MyPutrajaya dikhususkan kepada penjawat awam Putrajaya dan Cyberjaya.
  • Langkah selari aspirasi MADANI dan respons proaktif kepada krisis bekalan global, galak guna pengangkutan awam.
  • Pas dijual 24 April hingga 1 Julai; pendaftaran dan pengesahan melalui majikan atau laman MyKad untuk layak membeli.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah ini selari aspirasi MADANI serta sebagai respons proaktif terhadap krisis bekalan global.

“MyKLIA MTC ditawarkan secara eksklusif kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 manakala MyPutrajaya MTC dikhaskan kepada penjawat awam bekerja atau menetap di Putrajaya dan Cyberjaya.

“Inisiatif ini merupakan langkah penjimatan yang diharapkan dapat membantu warga kerja, selain menjadi respons terhadap situasi semasa di Asia Barat. Pada masa sama, kerajaan berhasrat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api,” jelas beliau pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran pas MyKLIA MTC dan MyPutrajaya MTC di KLIA Ekspres dan KLIA Transit, KLIA Terminal 2 hari ini.

MyKLIA MTC menawarkan tambang lebih rendah khusus untuk warga kerja di KLIA, manakala MyPutrajaya MTC memudahkan penjawat awam berulang-alik dengan kos lebih jimat.

Pas bulanan ini dijual mulai 24 April hingga 1 Julai, dengan tempoh sah perjalanan antara 1 Mei hingga 31 Julai.

Mengenai prasyarat bagi pembelian kedua-dua pas itu, Loke berkata pekerja warganegara harus menyerahkan maklumat peribadi kepada majikan bagi membolehkan majikan menghantar borang yang telah lengkap ke MyKLIA@KLIAekspres.com untuk pengesahan.

Bagi MyPutrajaya MTC, penjawat awam yang layak perlu mendaftarkan MyKad mereka secara dalam talian melalui laman laman web https://mykad.KLIAekspres.com/ dan setelah pengesahan dibuat, penjawat awam yang layak akan menerima e-mel pengesahan untuk pembelian MyPutrajaya MTC.