Jualan Rahmah MADANI ringankan beban penduduk PPR Perkasa

Jualan Rahmah MADANI tarik penduduk PPR

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Program Jualan MADANI terus memberi kelegaan kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, Maluri apabila barangan keperluan harian ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan di Surau Badul Khairat memudahkan akses barangan asas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup bagi penduduk berpendapatan rendah.
  • Penduduk, terutamanya warga emas, dapat membeli tanpa perlu bergerak jauh dan mendapat barang dengan harga lebih mampu.
  • Perbezaan harga nyata memberi penjimatan besar, contohnya ayam jauh lebih murah berbanding pasaran.
  • Pembekal menyokong program, menggesa lebih banyak vendor sertai bagi memperluas capaian dan pengembangan inisiatif ke seluruh negara.

Pelaksanaan program di Surau Badul Khairat itu bukan sahaja memudahkan akses kepada barangan asas, malah bantu mengurangkan tekanan kos sara hidup khususnya dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Penduduk, Muhammad Murad Matnor berkata inisiatif tersebut amat membantu terutama bagi warga emas yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Penduduk dapat membeli, terutamanya di PPR ini kebanyakannya warga emas. Mereka tak perlu bergerak jauh dan keseluruhan barangnya murah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azniaty Mohamad Yusu turut mengakui perbezaan harga yang ketara memberi penjimatan besar dalam perbelanjaan harian.

“Kalau macam ayam sekitar RM10, kalau tempat lain kita beli RM20. Ini baguslah macam ni, kos belanja sekarang mahal, jadi memang membantu,” katanya.

Pembekal, Muhammad Redzuan Sabdin menyambut baik pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI yang disifatkan memberi manfaat kepada pengguna dan pembekal, selain selari dengan hasrat kerajaan memperluaskan program itu ke seluruh negara.

Beliau berkata, usaha tersebut turut membuka ruang penyertaan lebih ramai vendor bagi memperluas capaian inisiatif berkenaan.

“Untuk serap vendor-vendor lain supaya perbanyakkan lagi Program Jualan Rahmah ini di seluruh negeri dan negara,” katanya.

Secara keseluruhannya, program ini dilihat bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih berpatutan, malah berpotensi diperluaskan untuk manfaat lebih ramai.