- Teknologi imej satelit dan analisis AI mengesan kesihatan pokok termasuk kerosakan dalaman yang tidak dapat dikesan pemeriksaan fizikal.
- Sistem menyokong inventori pokok berpusat, penyeragaman rekod serta pemantauan dan analisis data untuk tentukan keutamaan tindakan.
- Teknologi menghasilkan simulasi tiga dimensi untuk meramal kemungkinan tumbang dan membantu langkah pencegahan awal.
- Inisiatif dimulakan di hotspot timur pulau; peluasan ke kawasan lain dipertimbang jika data terbukti tepat.

GEORGE TOWN, 5 Mei – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan penggunaan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), Smart Sight Trees, bagi memantau dan merawat pokok lama serta mengenal pasti pokok berisiko tumbang secara lebih berkesan.
Langkah ini diambil selaras dengan kepesatan pembangunan di Pulau Pinang, khususnya di kawasan pulau, yang memerlukan pendekatan lebih sistematik dalam pengurusan landskap bandar dan keselamatan awam.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, kebanyakan pokok di negeri ini dianggarkan berusia sekitar 80 tahun, sekali gus memerlukan pemantauan rapi menggunakan teknologi terkini.
Menurut beliau, aplikasi Smart Sight Trees menggunakan imej satelit dan analisis AI untuk mengesan tahap kesihatan pokok, termasuk kerosakan dalaman yang tidak dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal biasa.
“Teknologi ini merupakan satu titik permulaan, khususnya di kawasan berisiko tinggi (hotspot), bermula di bahagian timur pulau. Sekiranya data yang diperoleh terbukti tepat dan boleh diguna pakai, MBPP akan mempertimbangkan untuk memperluaskan pelaksanaannya ke kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Laman Sesawang Smart Sight Trees MBPP di sini.
Sistem berkenaan turut menyokong pembangunan inventori pokok berpusat, penyeragaman rekod, serta pemantauan dan analisis berasaskan data bagi menentukan keutamaan tindakan mengikut tahap risiko.
Selain itu, teknologi imej satelit yang digunakan mampu menghasilkan simulasi tiga dimensi (3D) untuk meramal kemungkinan pokok tumbang, sekali gus membantu pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan lebih awal.
Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan pokok bandar serta mengurangkan risiko kejadian pokok tumbang yang boleh mengancam keselamatan orang awam dan harta benda. ###