Pesawah Kedah sambut baik bantuan pendahuluan input pertanian

Foto RTM

KUALA KEDAH, 5 Mei- Pesawah di Kedah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bayaran pendahuluan input pertanian sebanyak RM200 sehektar bagi membantu meringankan beban kos operasi sektor pertanian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca panas menjejaskan tanaman; sawah tidak dapat diusahakan sepenuhnya.
  • Kos jentera meningkat kerana krisis bekalan global, meningkatkan beban operasi ladang.
  • Kos racun, upah dan operasi naik, sementara pendapatan bendang rendah; pesawah kadang-kadang mengalami kerugian.
  • PPK A-4 mempunyai kira-kira 2,000 pesawah berdaftar yang bergantung pada padi sebagai sumber pendapatan utama.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-4, Mansor Hussein berkata inisiatif itu amat diperlukan ketika petani berdepan keadaan cuaca panas yang menjejaskan tanaman dan sawah padi yang tidak dapat diusahakan sepenuhnya.

Menurut beliau, pesawah turut terkesan dengan peningkatan kos jentera pertanian susulan krisis bekalan global, sekali gus meningkatkan beban operasi di peringkat ladang.

“Kita amat alu-alukan bantuan ini kerana kos perbelanjaan terlalu tinggi, sedangkan pendapatan bendang tidak seberapa.

“Kos racun, upah dan operasi semuanya meningkat. Kadang-kadang pesawah boleh rugi walaupun ada hasil padi,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.

Mansor Hussein

PPK A-4 mempunyai kira-kira 2,000 pesawah berdaftar yang bergantung kepada aktiviti penanaman padi sebagai sumber pendapatan utama.