Media perlu terjemah reformasi kerajaan dalam bahasa rakyat – KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi di Pusat Konvensyaen Antarabangsa Putrajaya (PICC) / foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Jun – Media perlu berperanan menterjemahkan agenda reformasi kerajaan dalam bahasa yang mudah difahami rakyat bagi memastikan setiap perubahan dasar dan prosedur dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reformasi hanya berjaya jika rakyat memahami perubahan dan mengetahui cara untuk mendapatkan manfaat daripadanya.
  • Media mesti gunakan bahasa mudah, elak istilah birokratik, dan tunjukkan siapa menerima kembali masa, modal, peluang serta harapan.
  • Hasilkan karya media berkualiti: kritis tetapi adil, berani berfakta, kreatif tanpa mengorbankan integriti dan etika.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata reformasi hanya akan mencapai matlamatnya sekiranya rakyat memahami perubahan yang dilaksanakan serta mengetahui cara untuk memperoleh manfaat daripadanya.

“Kerajaan boleh mengubah prosedur, tetapi sekiranya rakyat tidak memahami perubahan itu atau tidak mengetahui cara memperoleh manfaatnya, reformasi tersebut belum lengkap,” katanya.

Beliau berkata, media juga perlu mengelakkan penggunaan istilah yang terlalu bersifat birokratik sehingga menyukarkan pemahaman masyarakat.

“Jangan kita tenggelam dalam ‘bahasa Putrajaya’. Gunakan bahasa yang mudah difahami, bahasa orang kita. Di sinilah peranan media menjadi sangat penting.

“Media bukan sekadar melaporkan bahawa sesuatu proses telah dipendekkan. Media perlu menunjukkan siapa yang menerima kembali masa, modal, peluang dan harapan hasil pembaharuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di Putrajaya.

Menurut beliau, impak sebenar RKB dapat diketengahkan kepada rakyat dan komuniti perniagaan menerusi karya serta penulisan media yang berkualiti.

Katanya, Pertandingan Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi 2025 dinilai berdasarkan kandungan, kreativiti, impak dan nilai etika, iaitu empat elemen penting dalam membina keyakinan awam terhadap agenda reformasi kerajaan.

Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada tujuh pemenang bagi kategori artikel cetak atau digital, radio dan televisyen.

“Teruskan menulis perubahan, menceritakan hasil dan mengilhamkan reformasi. Kerajaan memerlukan media yang kritis tetapi adil, berani tetapi berfakta, serta kreatif tanpa mengorbankan integriti,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.