
PUTRAJAYA, 30 Jun – Sebanyak 14 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Berimpak Tinggi menerima pengiktirafan kerajaan sebagai usaha menghargai komitmen kementerian, agensi dan kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
- Sijil disampaikan kepada 86 Projek RKB Berpotensi Tinggi, 12 penerima kategori Projek RKB Siap Tertinggi dan tiga Anugerah Khas RKB.
- Majlis dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, ketua setiausaha kementerian, setiausaha kerajaan negeri serta penyelaras dan wakil projek.
- Ketua Setiausaha Negara menegaskan RKB mesti dilaksanakan konsisten; reformasi perlu diterjemah kepada perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai rakyat.
- Pencapaian daya saing Malaysia meningkat dalam World Competitiveness 2026, mengukuhkan usaha meneruskan RKB demi sasaran kedudukan dunia 2030.
Pengiktirafan itu disampaikan pada Majlis Pengiktirafan RKB di sini, semalam, yang menyaksikan penyampaian sijil kepada 86 Projek RKB Berpotensi Tinggi, 12 penerima kategori Pencapaian Bilangan Projek RKB Siap Tertinggi serta tiga penerima Anugerah Khas RKB.
Majlis berkenaan dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Hadir sama Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, pengurusan perkhidmatan awam dan negeri, penyelaras RKB serta wakil projek.
Tan Sri Shamsul Azri dalam ucapannya menegaskan, RKB perlu dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan produktiviti serta daya saing negara terus dipertingkatkan.
Beliau berkata reformasi tidak seharusnya hanya menjadi slogan atau retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai rakyat.
“Reformasi bukan sekadar slogan. Reformasi bukan hanya pada poster. Reformasi ialah perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai,” katanya.
Menurut beliau, RKB memberi tumpuan kepada aspek yang paling dekat dengan kehidupan rakyat serta operasi perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di Putrajaya.
Katanya, RKB merupakan sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam agar lebih pantas, mesra dan berorientasikan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata pencapaian Malaysia dalam World Competitiveness Ranking 2026 menunjukkan peningkatan ketara apabila negara melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi, iaitu pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad.
Beliau berkata, faktor kecekapan kerajaan turut menunjukkan peningkatan apabila naik 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14 dunia.
Prestasi tersebut, katanya, mengukuhkan usaha kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan RKB secara konsisten bagi menyokong sasaran Malaysia berada di kedudukan ke-12 dunia menjelang 2030.
Selain pengiktirafan kepada projek RKB, majlis itu turut menghargai sumbangan komunikasi dan produktiviti yang menyokong agenda reformasi menerusi anugerah kepada pemenang pertandingan liputan media RKB serta pasukan yang menjayakan inisiatif Paradoks Produktiviti Kecerdasan Buatan (AI).