
KLANG, 29 Jun- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan umat Islam supaya berwaspada terhadap ancaman penyelewengan akidah dan gejala sosial yang semakin kompleks susulan perkembangan teknologi serta media digital.
- Kemajuan teknologi dan media digital membuka ruang penyebaran fahaman bercanggah serta peningkatan gejala sosial yang boleh menjejaskan akidah dan akhlak.
- Program wacana meningkatkan kesedaran, membincangkan punca dan penyelesaian serta memperkukuh benteng masyarakat terhadap ancaman penyelewengan akidah.
- Norawi menyeru umat memperkukuh ilmu, rujuk sumber sahih dan bekerjasama institusi agama, kerajaan, pendidikan serta ibu bapa bagi memelihara akidah.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Norawi Endut berkata kemajuan teknologi dan media digital bukan sahaja membawa manfaat, malah membuka ruang kepada penyebaran fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam serta peningkatan gejala sosial yang boleh menjejaskan akidah dan akhlak umat.
Beliau berkata umat Islam perlu berhati-hati terhadap pelbagai bentuk penyelewengan yang boleh mengubah pemikiran dan keyakinan seseorang.
“Umat islam perlu berhati-hati terhadap pelbagai bentuk penyelewengan yang boleh mengubah pemikiran dan keyakinan seseorang,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Wacana Iman dan Isu Semasa Negeri Selangor di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini hari ini.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan, warga kerja MBDK serta pemegang tauliah negeri.
Antara pengisian utama ialah pembentangan bertajuk “Cabaran Akidah Umat Islam Dalam Era Digital” serta forum yang membincangkan punca, realiti dan penyelesaian berkaitan penyelewengan akidah dan gejala sosial dalam masyarakat.
“Program ini bukan sekadar program perkongsian ilmu biasa, tetapi merupakan satu usaha berterusan dalam memperkukuhkan benteng masyarakat daripada ancaman yang semakin mencabar.
“Objektif utama pelaksanaan program ini ialah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penyelewengan akidah dan gejala sosial semasa yang boleh menjejaskan akhlak, keharmonian dan kesejahteraan umat,” katanya.
Norawi turut menyeru masyarakat supaya memperkukuh ilmu, mendapatkan rujukan daripada sumber yang sahih serta bekerjasama dengan institusi agama, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan ibu bapa dalam usaha memelihara kesucian akidah serta keharmonian masyarakat di Selangor.