Lindungi kanak-kanak: Ahli Parlimen cadang pekerja wajib saring rekod jenayah seksual

Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ahli Parlimen hari ini mengemukakan pelbagai cadangan sebagai usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wajibkan semakan latar belakang jenayah seksual ke atas semua pekerja dan sukarelawan di institusi yang melibatkan kanak-kanak.
  • Tangani imej dan video dijana AI serta wajibkan platform melaporkan CSAM terus kepada pihak polis.
  • Tubuhkan Daftar Nasional Pesalah Seksual Kanak-Kanak, pasukan petugas khas dan unit pendakwaan khusus.
  • Perkukuh kerjasama antarabangsa, Bantuan Perundangan Bersama, latihan forensik digital, pendidikan keselamatan digital dan pemulihan mangsa.

Antara cadangan yang dibangkitkan ialah menangani kandungan berunsur kecerdasan buatan (AI) melibatkan kanak-kanak serta memperluas kerjasama rentas sempadan.

Selain itu, cadangan turut merangkumi penubuhan pasukan petugas dan unit pendakwaan khas serta memperkukuh perlindungan dan pemulihan mangsa.

Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berkata, RUU itu masih belum menyediakan mekanisme yang jelas untuk mengenal pasti serta menangani imej dan video yang dijana AI yang memaparkan kanak-kanak dalam konteks seksual.

“Tiada peruntukan baharu yang secara khusus menangani jenayah seksual digital. Selain itu, masih belum ada mekanisme yang jelas untuk mengenal pasti atau menangani imej dan video yang dijana menggunakan AI yang memaparkan kanak-kanak dalam konteks seksual.

“Pada masa yang sama, tiada kewajipan ke atas platform teknologi untuk melaporkan terus kepada pihak polis apabila mengesan kandungan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

“Laporan tidak seharusnya hanya disalurkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebaliknya perlu melibatkan penguatkuasaan yang lebih pantas melalui pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas melibatkan pelbagai agensi bagi menangani jenayah seksual digital terhadap kanak-kanak.

“Kerajaan boleh memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui perkongsian maklumat, Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dan latihan forensik digital selaras dengan matlamat pindaan ini.

“Selain itu,usaha memperhebat pendidikan keselamatan digital di sekolah serta memperkasakan ibu bapa supaya mampu mengenal pasti tanda-tanda awal pengantunan dalam talian (online grooming) dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mencadangkan penubuhan Daftar Nasional Pesalah Seksual Kanak-Kanak.

Beliau turut mencadangkan supaya semakan latar belakang jenayah seksual diwajibkan terhadap individu yang bekerja atau menjadi sukarelawan di institusi yang melibatkan kanak-kanak.

“Kerajaan perlu mewajibkan semakan latar belakang jenayah seksual terhadap semua individu yang bekerja atau menjadi sukarelawan di rumah kebajikan, taska, tadika, sekolah, pusat tahfiz, institusi keagamaan, kelab sukan dan mana-mana organisasi yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

Pindaan terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu antara lain bertujuan memastikan Malaysia mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak walaupun kesalahan dilakukan di luar negara.

Seramai 26 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan dan akan bersambung esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.