
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Malaysia sedang menyemak semula Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi Kebangsaan (NMPI) bagi memastikan tahap kemiskinan dan kerentanan rakyat diukur dengan lebih tepat, bukan hanya berdasarkan pendapatan.
- NMPI bantu kukuhkan dasar awam, perlindungan sosial dan perbelanjaan pembangunan lebih bersasar selaras RMK13.
- Penggubalan dasar memerlukan pemahaman menyeluruh terhadap realiti kehidupan rakyat, melangkaui petunjuk sosioekonomi konvensional.
- NMPI mengenal pasti pertindihan pelbagai kekurangan untuk merangka penyelesaian yang lebih bersepadu.
- NMPI memberi gambaran menyeluruh termasuk pendidikan, kesihatan, keadaan hidup dan akses peluang untuk intervensi lebih berkesan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu akan membantu kerajaan memperkukuh dasar awam, perlindungan sosial serta perbelanjaan pembangunan yang lebih bersasar selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut beliau, penggubalan dasar yang berkesan memerlukan pemahaman lebih menyeluruh terhadap realiti kehidupan rakyat, melangkaui petunjuk sosioekonomi konvensional.
“NMPI merupakan alat dasar yang membantu kerajaan mengenal pasti pertindihan pelbagai bentuk kekurangan yang dialami rakyat dan merangka penyelesaian yang lebih bersepadu.
“Pendekatan ini akan menyokong usaha memastikan manfaat pertumbuhan inklusif dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kaedah pengukuran kemiskinan perlu berkembang seiring perubahan landskap pembangunan negara supaya dasar, program dan peruntukan dapat disasarkan mengikut keperluan sebenar rakyat.
Sementara itu, Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkić berkata, NMPI memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai cabaran yang dihadapi rakyat.
Perkara itu termasuk aspek pendidikan, kesihatan, keadaan hidup dan akses kepada peluang.
Katanya, pendekatan itu dapat membantu penggubal dasar merangka intervensi yang lebih berkesan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.