Malaysia perlu perkukuh kedaulatan teknologi hadapi ketidaktentuan global

Datuk Chang Lih Kang

SEMENYIH, 14 April – Pengukuhan aspek kedaulatan teknologi dilihat sebagai usaha dalam memastikan negara tidak hanya bergantung kepada pihak luar ketika berdepan dengan cabaran situasi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan global ganggu rantaian bekalan dan akses teknologi kritikal, tingkatkan risiko kebergantungan kepada pihak luar.
  • Negara mesti bangunkan kapasiti teknologi sendiri supaya tidak dipinggirkan ketika krisis, contohnya pengeluaran vaksin dan bekalan kritikal.
  • MSN dan DSTIN memupuk budaya sains, melahirkan tenaga kerja mahir mampu memanfaatkan teknologi baharu termasuk AI untuk daya saing negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, ketegangan global secara umum akan memberi kesan dalam rantaian bekalan, persaingan teknologi juga mengganggu akses kepada teknologi kritikal.

“Kalau teknologi itu tidak dibangunkan oleh negara kita dan dimiliki pihak lain, mereka mungkin akan mengutamakan rakyat mereka sendiri.

“Sebagai contoh, dalam soal vaksin, jika kita tidak mempunyai kapasiti untuk membangunkannya, apabila berlaku pandemik, kita mungkin tidak akan diberi keutamaan. Keadaan itu boleh menyebabkan negara berdepan masalah bekalan dan pelbagai kekangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Minggu Sains Negara (MSN) 2026 di Universiti Nottingham Malaysia di sini.

Dalam pada itu beliau turut menyasarkan seramai 1.15 juta peserta di seluruh negara disasarkan bakal menyertai MSN 2026.

Program itu akan dilaksanakan di lima zon utama iaitu utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak dengan pelbagai pengisian termasuk karnival sains dan program jangkauan komuniti.

MSN merupakan inisiatif utama kementerian selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk membudayakan sains dan menjadikannya pemacu ekonomi negara.

Platform seperti MSN juga penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memanfaatkan teknologi baharu seperti AI, yang kini menjadi faktor pembeza utama dalam daya saing individu dan organisasi.