PM umum RM2 juta perkasa pembangunan sepak takraw negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan RM2 juta bagi memperkasa pembangunan sukan sepak takraw negara bersempena penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia oleh Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan merangkumi kebajikan pemain, kemudahan latihan, makanan, minuman, pakaian serta sokongan bagi pengurusan persatuan dan akademi.
  • Perasmian Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia dihadiri Perdana Menteri serta menteri berkaitan.
  • Beliau ingatkan pemain supaya tidak sombong, menghargai sokongan kerajaan dan rakyat serta pembangunan sukan perlu merentas kaum dan lebih inklusif.

Beliau berkata peruntukan itu merangkumi kebajikan pemain termasuk keperluan asas, kemudahan latihan, serta sokongan kepada pengurusan persatuan dan pembangunan akademi berkenaan.

“Peruntukan ini sebahagiannya untuk kebajikan pemain, kualiti latihan, makanan, minuman, keselesaan serta pakaian mereka, selain untuk perjalanan persatuan dan akademi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.