Kes pergaduhan depan sekolah, enam pelajar mengaku bersalah

Seramai 14 pelajar didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana terbabit pergaduhan pada 10 April lalu.

JOHOR BAHRU, 14 April – Seramai 16 individu termasuk 14 pelajar dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan bergaduh dan merusuh di hadapan sebuah sekolah di Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam pelajar berusia 12 hingga 16 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan bergaduh dan merusuh.
  • Lapan pelajar serta dua wanita mengaku tidak bersalah; wanita didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM800 bagi setiap pelajar dan RM2,000 bagi kedua wanita; kes disetkan sebutan semula pada 28, 29 April dan 14 Mei.

Daripada jumlah itu, enam pelajar berusia antara 12 hingga 16 tahun mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Manakala lapan lagi pelajar berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara bersama.

Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan merusuh di Bandar Selesa Jaya, Skudai pada 10 April lalu kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Sementara itu, seorang wanita, R. Loganayagi, 36 tahun, yang merupakan ibu angkat kepada salah seorang pelajar, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran pagar sekolah, pada tarikh sama kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam prosiding berasingan, seorang lagi wanita, S. Lakshmy, 37 tahun, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab atas kesalahan sama.

Dua wanita turut didakwa kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Kedua-dua wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak 800 ringgit bagi setiap pelajar, manakala dua ribu ringgit bagi kedua-dua wanita terbabit.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 dan 29 April serta 14 Mei depan.