
KUALA LUMPUR, 14 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) serta agensi berkaitan menyegerakan tindakan susulan kebakaran di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok, Kelantan, pada Ahad lalu.
- Kebakaran memusnahkan blok akademik dan asrama pelajar lelaki, sekali gus menjejaskan operasi pembelajaran sekolah.
- Kerajaan akan menyegerakan bantuan dan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk mempercepatkan kerja pemulihan.
- Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM100,000 bagi kerja pembersihan dan pembaikan; tiga blok musnah dalam kebakaran.
Kebakaran itu memusnahkan blok akademik serta asrama pelajar lelaki, sekali gus menjejaskan operasi pembelajaran di sekolah berkenaan.
“Insiden ini merupakan satu ujian besar buat warga SMU(A) Darul Ulum Muhammadiah. Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan, ICU JPM dan agensi-agensi lain yang terlibat untuk menyegerakan tindakan tuntas.
“Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan keselamatan pelajar dan kelancaran pembelajaran yang terjejas akibat kejadian tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menyegerakan bantuan yang diperlukan selain bekerjasama dengan semua pihak bagi mempercepatkan kerja pemulihan.
Katanya, supaya sekolah berkenaan kembali berfungsi seperti sediakala.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan pelajar dalam menuntut ilmu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kementerian itu telah memperuntukkan RM100,000 bagi kerja-kerja pembersihan dan pembaikan.
Dalam kejadian petang Ahad, tiga blok bangunan sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran.