Malaysia rakam ucapan takziah kepada keluarga Asha Bhosle

Penyanyi legenda India Asha Bhosle / REUTERS

KUALA LUMPUR, 14 April – Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi legenda India Asha Bhosle ata pemergiannya akibat masalah jantung dan pernafasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim sifatkan pemergian Asha Bhosle sebagai kehilangan besar kepada dunia muzik, kebudayaan dan pencinta seni.
  • Suara uniknya menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi, menghidupkan layar perak dan drama.
  • Sebagai adinda Lata Mangeshkar, beliau bina legasi seni berani bereksperimen, relevan dan jadi inspirasi kepada generasi penerus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook menyifatkan kepemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada dunia muzik,kebudayaan dan seluruh pencinta seni turut merasakan kehilangannya.

“Asha Bhosle merupakan penyanyi yang telah menyatukan emosi, tradisi, dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi. Suaranya yang unik, sarat jiwa dan tenaga, telah menghidupkan layar perak dan drama yang mengisi ruang hati jutaan insan di seluruh dunia.

“Sebagai adinda kepada Lata Mangeshkar, beliau telah mengangkat legasi keluarga yang begitu besar dalam khazanah seni Asia Selatan, dan tetap membina jalur kepemimpinan seninya dengan gaya tersendiri, selain berani bereksperimen, buat lebih dari sekadar biasa, tidak ‘mediocre’, malah terus relevan dalam arus dan rencam zaman yang sentiasa menjanjikan perubahan dan citra baharu,” menurut hantaran itu.

Perdana Menteri berharap legasi beliau akan terus menyemarakkan semangat serta menjadi ilham dan sumber inspirasi kepada generasi penerus dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan.