
KUALA LUMPUR, 14 April – Satu memorandum telah dikemukakan oleh wakil pengusaha perkhidmatan trak tunda bagi memohon subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersepadu (SKDS).
- Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Politik untuk tindakan lanjut.
- Pengusaha bimbang peningkatan kos operasi boleh menutup perniagaan dan menjejaskan sistem kecemasan jalan raya.
- Mereka mencadangkan subsidi khas diesel, kuota bersubsidi dan pengiktirafan sebagai sektor kritikal negara.
- Kerajaan akan meneliti tuntutan, dapatkan maklumat lanjut dan memastikan integriti bagi mengelakkan penyalahgunaan subsidi.
Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin hari ini untuk tindakan lanjut.
Permohonan berkenaan susulan peningkatan kos operasi serta risiko penutupan syarikat kecil dan sederhana perusahaan tersebut.
Wakil pengusaha perkhidmatan trak tunda, Sree Ganesan berkata, tanpa subsidi diesel pihak trak tunda tidak mampu mengekalkan operasi secara konsisten, sekali gus menjejaskan keseluruhan sistem kecemasan jalan raya negara.
Pihak pengusaha mencadangkan beberapa langkah termasuk subsidi khas diesel, kuota diesel bersubsidi dan pengiktirafan sebagai sektor kritikal negara.

Sementara itu, Datuk Azman berkata, terdapat keperluan mendesak atas tuntutan berkenaan dan akan berusaha mendapatkan maklumat lebih terperinci sebelum mengemukakannya kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan lanjut.
“Sekiranya kos operasi terus meningkat, pengusaha perkhidmatan trak tunda berdepan risiko untuk tidak dapat meneruskan operasi mereka.
“Keadaan ini berpotensi menimbulkan pelbagai masalah, termasuk kelewatan dalam pengendalian kenderaan rosak atau terlibat dalam kemalangan di jalan raya, apabila pengusaha enggan berkhidmat kerana kos yang terlalu tinggi,” katanya.
Menurutnya, pelbagai faktor perlu diteliti terutama risiko penyalahgunaan subsidi.
“Kita perlu berhati-hati terhadap risiko penyalahgunaan subsidi yang mungkin berlaku dan telah menekankan kepada pihak pengusaha bahawa sekiranya bantuan diberikan, ia tidak boleh disalahgunakan.
“Kita memahami keperluan untuk membantu, namun integriti dalam pelaksanaannya perlu dijaga,” katanya.