
KUALA LUMPUR, 11 Mei– Jabatan Muzium Negara menyasarkan kehadiran sehingga 25,000 pengunjung sempena Sambutan Minggu Perpaduan, Zon Tengah.
- Aktiviti termasuk pameran kebudayaan, demonstrasi masakan tradisional dan Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan.
- Acara bertujuan memperkukuh integrasi kaum dan memupuk semangat kenegaraan serta rasa kepunyaan bersama.
- Disediakan kaunter JPJ dan PDRM untuk urusan penyelesaian saman serta kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan.
- Kemasukan percuma untuk warganegara pada Sabtu dan Ahad; waktu operasi dilanjutkan sehingga pukul 10.00 malam.
Program yang berlangsung bermula di Muzium Negara pada Jumaat ini, menawarkan pelbagai aktiviti termasuk, pameran kebudayaan, demonstrasi masakan tradisional, serta program “Pesta Cita Rasa Sambal Perpaduan”.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, acara tersebut bertujuan memperkukuh integrasi kaum serta memupuk semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat.
“Langkah ini bertujuan memupuk semangat kepunyaan bersama (sense of belonging) dalam kalangan masyarakat. Meskipun kita terdiri daripada pelbagai kaum, kita perlu berpegang kepada prinsip faham, hormat dan terima.”
“Kita harus menyedari bahawa setiap kaum mempunyai kepelbagaian budaya dan agama yang perlu diraikan bersama,” kata Datuk Kamarul Baharin.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, hari ini.
Program yang berlangsung sehingga 17 Mei itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik termasuk kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi urusan penyelesaian saman.
Turut diadakan, Kempen Derma Darah, pemeriksaan kesihatan dan Jualan Agro MADANI.
Sempena Sambutan Minggu Perpaduan itu juga, kemasukan ke Muzium Negara adalah percuma buat warganegara pada Sabtu dan Ahad.
Waktu operasi pada Jumaat dan Sabtu turut dilanjutkan sehingga pukul 10.00 malam.