
SERDANG, 11 Mei– Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencipta pencapaian bersejarah dalam bidang veterinar akuatik dengan memperkenalkan kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula yang pertama dibangunkan di Malaysia.
- Inovasi Fish Anesthetic Delivery System hasil penyelidikan lebih 15 tahun untuk prosedur rawatan yang lebih selamat dan sistematik.
- Sistem membekalkan air beroksigen bersama bahan anestetik terus ke sistem pernafasan ikan sepanjang prosedur, membolehkan pembedahan di luar air.
- Pembangunan kepakaran kesihatan ikan penting untuk keterjaminan makanan, kelestarian akuakultur dan daya saing industri perikanan negara.
Inovasi yang dikenali sebagai Fish Anesthetic Delivery System itu merupakan hasil penyelidikan berterusan selama lebih 15 tahun bagi memastikan prosedur rawatan dilakukan secara lebih selamat dan sistematik.
Pegawai Veterinar Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM, Dr. Mohd Fuad Matori berkata sistem tersebut dijangka membuka dimensi baharu dalam rawatan hidupan akuatik, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam bidang kesihatan ikan, akuakultur dan keselamatan makanan.
“Kaedah ini menggunakan mekanisme yang membekalkan air beroksigen bersama bahan anestetik terus ke sistem pernafasan ikan sepanjang prosedur dijalankan.
“Ia membolehkan pembedahan dilakukan di luar air tanpa menjejaskan bekalan oksigen kepada ikan,” katanya.

Tambahnya, pembangunan kepakaran dalam bidang kesihatan ikan amat penting memandangkan sektor akuakultur berkait rapat dengan keterjaminan makanan dan industri perikanan negara.
“Kita perlu bersedia dengan kepakaran dan teknologi yang mencukupi bagi menghadapi cabaran masa depan, terutama dalam memastikan industri perikanan negara terus mampan dan berdaya saing,” katanya.
Inovasi tersebut turut mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu veterinar, malah memberi manfaat langsung kepada industri dan masyarakat.