170 tahanan dihantar pulang ke negara asal

Mereka yang dihantar pulang turut disenarai hitam/ Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU, 11 Mei – Seramai 170 tahanan pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal menerusi Depot Imigresen Pekan Nenas di Pontian, Johor sepanjang minggu pertama bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebanyakan dihantar pulang ialah warga Indonesia (100), Bangladesh (23), Myanmar (18), India (13) dan Thailand (9).
  • Penghantaran dilakukan melalui KLIA 1 dan KLIA 2, ICQS Rantau Panjang, Terminal Feri Stulang Laut dan Pasir Gudang.
  • Penghantaran dibuat selepas tamat hukuman mengikut Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya; mereka disenarai hitam.

Kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor memaklumkan, jumlah itu melibatkan 100 tahanan warga Indonesia, Bangladesh (23), Myanmar (18), India (13) dan sembilan warga Thailand.

Turut dihantar pulang tiga warga China, dua warga Filipina serta masing-masing seorang rakyat Korea dan Nigeria.

Kesemua tahanan itu dipindahkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) 1 dan KLIA 2; Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang Kelantan; serta Terminal Feri Stulang Laut dan Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

“Tindakan penghantaran pulang dilaksanakan selepas kesemua tahanan selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang dihantar pulang turut disenarai hitam dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.