
LUMUT, 15 Mei – Dua lagi mayat mangsa bot karam dan tenggelam di perairan Pulau Pangkor ditemukan hari ini, menjadikan jumlah yang maut dalam kejadian berkenaan meningkat kepada 12 orang.
- Lelaki ditemukan oleh TLDM pada 9.27 pagi, 5.6 batu nautika dari lokasi kejadian.
- Wanita ditemukan pada 2.35 petang oleh nelayan tempatan, kira-kira 31.5 batu nautika dari lokasi bot.
- Operasi SAR hari kelima bermula 7 pagi, meliputi 215.14 batu nautika persegi dan melibatkan tujuh aset APMM, TLDM serta PPM.
- Bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor; 23 mangsa berjaya diselamatkan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata satu mayat lelaki ditemukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pukul 9.27 pagi tadi di kedudukan 5.6 batu nautika dari lokasi kejadian.
Manakala, mayat kedua seorang wanita ditemukan pada pukul 2.35 petang oleh nelayan tempatan kira-kira 31.5 batu nautika dari lokasi bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu, disyaki tenggelam.
“Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses pengecaman. Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang diteruskan melibatkan kawasan lebih 215 batu nautika persegi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima diteruskan bermula 7 pagi tadi, dengan radius keluasan kawasan keseluruhan pencarian sekitar 215.14 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.
Operasi SAR turut melibatkan tujuh aset membabitkan Kapal Maritim (KM) Malawali (APMM), Benteng 1203 (APMM), KD Sri Indera Sakti (TLDM) FCB 1001 (TLDM), FCB 1030, PSC 16 Pasukan Polis Marin (PPM) dan PSC 24 (PPM) tertumpu bagi mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang.
Dalam kejadian Isnin lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju ke beberapa destinasi di Malaysia.
Setakat ini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan.