Nilai ringgit terus kukuh berbanding dolar AS setakat Mei

Selepas sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar Suku Pertama 2026 / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Nilai ringgit mempamerkan prestasi kukuh berbanding mata wang utama dunia pada suku pertama 2026, didorong asas domestik dan momentum pertumbuhan yang positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit meningkat 3.3 peratus berbanding dolar AS sehingga 13 Mei 2026.
  • Kadar pertukaran efektif nominal NEER naik 2.9 peratus dalam tempoh sama.
  • Ketahanan disokong aliran masuk pelabur asing, asas ekonomi kukuh dan pembaharuan struktur; BNM memantau pasaran serta mengekalkan kestabilan.

Walaupun terdapat ketidaktentuan berikutan krisis di Asia Barat dan jangkaan yang berkurangan terhadap pemotongan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan AS, prestasi ringgit menambah nilai sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga 13 Mei 2026.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pencapaian berkenaan turut menyaksikan peningkatan 2.9 peratus dari segi kadar pertukaran efektif nominal (NEER) dalam tempoh yang sama.

Jelasnya, pada suku pertama tahun ini, ringgit juga meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar AS, walaupun dolar AS mengukuh susulan konflik di Asia Barat dalam keadaan sentimen penghindaran risiko oleh pelabur.

”Ketahanan ringgit disokong oleh aliran masuk berterusan daripada pelabur asing ke dalam pasaran bon dan ekuiti domestik. Ketahanan ringgit ialah asas ekonomi domestik yang kukuh, prospek ekonomi yang memberangsangkan serta pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan.

”Namun begitu, pergerakan ringgit masih banyak dipengaruhi oleh faktor luaran, dan sedikit ketidaktentuan jangka pendek dijangka berlaku berikutan ketidakpastian yang masih berlarutan,” jelasnya dalam sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Pertama 2026 di sini, hari ini.

Jelasnya, BNM akan terus memantau perkembangan global dengan teliti dan komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan teratur.