
ISKANDAR PUTERI, 11 Mei – Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 25.3, Lebuhraya Linkedua Arah Senai di sini pada Ahad.
- Kereta hilang kawalan, terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan, kemudian dirempuh dua motosikal dari arah belakang.
- Pemandu dan penumpang tercampak, digilis dan meninggal dunia; mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki kedua-dua mangsa hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum dirempuh dua motosikal dari arah belakang.
Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 37 tahun tercampak keluar dari kereta dan terjatuh ke lorong kanan, sebelum digilis sebuah lori dan dua kereta yang tidak sempat mengelak.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala penumpang berusia 34 tahun yang tercampak keluar dan terjatuh dari jambatan turut meninggal dunia di tempat kejadian.
Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.