
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Malaysia perlu melangkah ke tahap lebih tinggi dalam industri halal global dengan memperluas peranan sebagai peneraju teknologi, bukan sekadar negara yang mempunyai sistem pensijilan halal yang dihormati.
- Usahawan Bumiputera mesti berada di barisan hadapan ekonomi halal global, terlibat dalam kilang, makmal, inovasi digital, rangkaian eksport dan pasaran antarabangsa.
- Pelancaran Ekosistem Halal MARA ialah langkah strategik membina rantaian pembangunan usahawan lengkap daripada latihan hingga akses pasaran global.
- Pembangunan usahawan mesti dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berani untuk memastikan daya saing serta dominasi dalam rantaian nilai halal dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara mesti bergerak ke hadapan dengan menguasai keseluruhan rantaian nilai industri halal di peringkat antarabangsa.
“Kita mesti menjadi negara yang bukan sahaja memberi pengiktirafan halal, tetapi turut menghasilkan produk halal, membina jenama halal, menguasai teknologi halal dan menembusi rantaian nilai halal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekosistem Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usahawan Bumiputera perlu berada di barisan hadapan dalam ledakan ekonomi halal global dan tidak sekadar menjadi pemerhati.
“Saya tidak mahu usahawan Bumiputera hanya menjadi pemerhati kepada ledakan ekonomi halal global. Saya mahu mereka berada dalam kilang, dalam makmal, dalam pusat inovasi, dalam platform digital, dalam rangkaian eksport dan akhirnya menjadi pemain utama dalam pasaran halal antarabangsa,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelancaran Ekosistem Halal MARA merupakan langkah strategik dalam membina rantaian pembangunan usahawan yang menyeluruh.
“Pelancaran Ekosistem Halal MARA pada hari ini adalah satu langkah strategik untuk membina ekosistem yang lengkap – daripada latihan, pensijilan dan pembiayaan sehinggalah kepada infrastruktur, pembangunan produk dan akses pasaran global.
“Pendekatan ini penting supaya usahawan Bumiputera bukan sahaja mampu memasuki pasaran halal, tetapi menguasainya,” katanya.
Beliau turut menegaskan pembangunan usahawan perlu dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berani bagi memastikan daya saing jangka panjang.
“Ekosistem Halal MARA adalah manifestasi kepada prinsip bahawa pembangunan usahawan tidak boleh dibuat secara kecil-kecilan, terpisah-pisah atau bermusim. Ia mesti dibina secara tersusun, bersepadu dan berani,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata peranan MARA amat penting sebagai jambatan yang menghubungkan usahawan Bumiputera dengan peluang ekonomi yang lebih besar dan bernilai tinggi dalam landskap halal global.
Setakat ini, seramai 327 usahawan MARA telah memperoleh pensijilan halal, manakala lebih 1,000 usahawan berjaya dibawa ke pentas antarabangsa menerusi program ‘Gate to Global’.
Selain itu, 29 usahawan mencatatkan potensi transaksi jualan mencecah RM819 juta, di samping 13 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM70.2 juta melalui penyertaan dalam platform halal antarabangsa.