Insiden Strok Haba: Larian trail di Pulau Pinang patuh SOP

Daniel Gooi Zi Sen/RTM

GEORGE TOWN, 4 Mei- Kerajaan negeri Pulau Pinang mengesahkan penganjuran acara larian trail baru-baru ini adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk penyediaan pasukan perubatan dan stesen air sepanjang laluan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan perubatan sedia memberi bantuan kecemasan dan membawa peserta ke hospital untuk rawatan lanjut.
  • Satu peserta lelaki, 42, dari Tampin disahkan meninggal dunia akibat strok haba selepas dikejarkan ke hospital.
  • JKN Pulau Pinang sahkan ini adalah kes kematian pertama akibat strok haba yang direkodkan di negeri tersebut.
  • Kerajaan negeri menasihati peserta sukan lasak nilai tahap kesihatan sendiri dan jangan paksa melebihi had fizikal.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata pihak penganjur turut mengambil tindakan segera dengan memberikan bantuan kecemasan sebaik peserta menamatkan larian.

“Ini antara SOP untuk mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri bagi penganjuran acara sukan, di mana aspek penting termasuk penyediaan pasukan perubatan sepanjang acara.

“Sebelum peserta rebah, pasukan perubatan telah bersedia memberikan bantuan dan menghantar terus ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Terdahulu, mangsa, seorang lelaki, 42, dari Tampin, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia akibat strok haba selepas dikejarkan ke hospital.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengesahkan insiden itu merupakan kes kematian pertama akibat strok haba yang direkodkan di negeri berkenaan.

Daniel berkata acara tersebut dimulakan pada awal pagi bagi mengurangkan risiko cuaca panas, namun faktor kesihatan individu turut diambil kira dalam siasatan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menasihati peserta acara sukan lasak agar menilai tahap kesihatan diri dan tidak memaksa kemampuan fizikal melebihi had.