
SHAH ALAM, 4 Mei – Allahyarham pelakon veteran, Abdul Jalil Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Jalil Hamid selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.00 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Shah Alam Seksyen 21 di sini.
- Solat jenazah diimamkan di Masjid Al-Munawwarah sekitar pukul 5.00 petang, dihadiri lebih 100 ahli keluarga, saudara dan rakan.
- Anaknya berkata beliau menghidap jantung bengkak, ditemukan tidak sedarkan diri sekitar pukul 12.30 dan cubaan CPR tidak berjaya.
- Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac menyifatkan pemergian sebagai kehilangan besar, memuji komitmen, pengalaman dan sumbangan beliau.
Sebelum itu, Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Munawwarah untuk disolatkan. Solat jenazah diimamkan oleh imam masjid berkenaan kira-kira pukul 5.00 petang tadi.
Lebih 100 individu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan hadir menunaikan solat jenazah buat Allahyarham Jalil Hamid.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 12.30 tengah hari di kediamannya.
Sementara itu Anak Allahyarham, Afiqah Jalil, 33 tahun memaklumkan bapanya sebelum ini mempunyai masalah jantung bengkak, namun berada dalam keadaan baik sehari sebelum meninggal dunia.
“Ayah memang menghidap jantung bengkak… tetapi ayah dalam keadaan baik, alhamdulillah. Semalam kami sempat makan malam bersama dan berbual seperti biasa.
:Namun pagi tadi, ibu memeriksa keadaan ayah sekitar pukul 12.30 tengah hari dan mendapati ayah tidak sedarkan diri. Saya terus pulang ke rumah dan cuba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans, tetapi ayah sudah meninggal dunia,” jelasnya.
Manakala, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
“Pemergian Allahyarham Jalil Hamid merupakan satu kehilangan besar kepada industri. Beliau seorang yang komited, berpengalaman dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap karya. Jasa dan sumbangan beliau akan terus dikenang,” katanya.