
PAPAR, 4 Mei- Kerajaan Sabah terus mengambil pendekatan rundingan dan perundangan berhubung hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan.
- Parlimen mengiktiraf 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah.
- Sabah mengharapkan rundingan untuk menyelesaikan tuntutan 40 peratus dengan segera.
- Usul persendirian ADUN Kepayan ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, bukan oleh kerajaan negeri atau GRS.
- Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pemberian khas interim daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha berkenaan dibawa secara berterusan di pelbagai peringkat termasuk perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, selain melalui saluran mahkamah.
Menurut beliau, isu berkenaan juga perlu dilihat dalam konteks usaha mencari penyelesaian terbaik secara berperingkat demi kepentingan negeri Sabah.
“Di Parlimen, turut diakui bahawa 40 peratus itu adalah hak perlembagaan Sabah dan kita berharap supaya rundingan ini akan dapat diselesaikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Status Semasa Projek-Projek Pembangunan Daerah Papar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan usul persendirian yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan berkaitan tuntutan 40 peratus ditolak atas keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan bukannya disebabkan oleh kerajaan negeri atau GRS.
Datuk Armizan berkata kerajaan negeri ketika ini turut menyasarkan peningkatan pemberian khas interim daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion berdasarkan hasil serta kutipan cukai Sabah, selaras dengan perkembangan semasa perbincangan.