
PUTRAJAYA, 4 Mei – Sasaran penubuhan 500 unit Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara menjelang 2030 berdepan cabaran besar, khususnya dari segi keupayaan bekalan peralatan dan jentera kebombaan.
- Ketua Pengarah JBPM mengakui sasaran itu tersasar sedikit daripada jajaran awal yang ditetapkan.
- Kira-kira 400 PBS wujud kini, namun tidak semua pasukan berada dalam keadaan aktif.
- Lokasi penubuhan PBS telah dikenal pasti tetapi peringkat bawahan memerlukan kenderaan ringan segera.
- JBPM telah mengemukakan permohonan kepada agensi pusat bagi mendapatkan bekalan peralatan dan aset.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya mengakui sasaran itu sedikit tersasar daripada Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara serta pelan strategik jabatan.
“Saya terpaksa mengakui bahawa sasaran itu agak tersasar sedikit daripada jajaran awal yang ditetapkan iaitu 500 unit. Ketika ini, kita mempunyai kira-kira 400 PBS, namun tidak semuanya aktif,” katanya.
Beliau berkata, lokasi penubuhan PBS telah dikenal pasti, namun maklum balas daripada peringkat bawahan menunjukkan keperluan mendesak terhadap sekurang-kurangnya kenderaan ringan bagi menyokong penubuhan pasukan berkenaan.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, mereka memerlukan sekurang-kurangnya kenderaan ringan bagi membantu penubuhan PBS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada agensi pusat bagi mendapatkan bekalan peralatan dan aset yang diperlukan bagi merealisasikan sasaran tersebut.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini, hari ini.