
KUCHING, 4 Mei- Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak berharap pelaksanaan peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dapat dilaksanakan secara telus, lancar dan efisien bagi memastikan manfaatnya sampai kepada pemain industri.
- Inisiatif dijangka menstabilkan kos logistik dan operasi, terutamanya dalam sektor automotif yang bergantung kepada diesel.
- Memberi sokongan kepada komuniti perniagaan terutama syarikat Bumiputera dan PKS di Sabah serta Sarawak.
- Syarikat mesti faham syarat kelayakan dan lengkapkan dokumen; pemantauan harga diperkukuh bagi memastikan subsidi sampai.
Naib Presidennya, Ts. Yusuf Roy Fitri Mohd Johnny berkata inisiatif berkenaan diyakini mampu menstabilkan kos logistik serta operasi khususnya dalam sektor automotif yang bergantung kepada penggunaan diesel.
“Selain daripada itu kita lihat inisiatif ini dapat memberi sokongan kepada komuniti perniagaan, terutama sekali syarikat Bumiputera dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berada di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Beliau berkata pelaksanaan yang teratur serta telus penting supaya manfaat subsidi dapat dinikmati segera oleh pihak yang terlibat dalam industri.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS), Dr Wynson Ong berkata syarikat perlu memahami syarat kelayakan serta memastikan dokumen permohonan di bawah SKDS dilengkapkan bagi mengelakkan permohonan ditolak.
Menurutnya, langkah itu juga penting untuk memastikan kelancaran proses pelaksanaan sistem berkenaan.
“Kami akan dijemput menghadiri mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak pada 12 Mei untuk membincangkan isu ini. Dokumen sepatutnya mesti lengkap kerana ini sistem penting bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau turut berharap mekanisme pemantauan harga dapat diperkukuh melalui penyampaian maklumat yang lebih jelas kepada pihak berkaitan.