Malaysia-Jepun perkukuh kawal selia peranti perubatan

Memorandum Kerjasama (MoC) antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW)

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengawalseliaan peranti perubatan menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama merangkumi pertukaran maklumat, kerjasama saintifik, pembangunan sumber manusia dan penglibatan dalam forum pengawalseliaan antarabangsa.
  • Kedua pihak bersetuju mempercepat penilaian dan pendaftaran peranti, memperkukuh pemantauan pasca pasaran serta meneliti semula keperluan Sijil Jualan Bebas.
  • Jepun menyokong pencalonan Malaysia sebagai APEC Center of Excellence dan usaha memperkukuh harmonisasi pengawalseliaan peranti perubatan antarabangsa.
  • Kerjasama membuka peluang teknologi inovatif, meningkatkan keupayaan rawatan dan diagnostik, serta memperluas akses pengeluar tempatan ke pasaran global.

MDA dalam kenyataan memaklumkan, ia meliputi pertukaran maklumat, kerjasama saintifik, pembangunan sumber manusia serta penglibatan dalam forum pengawalseliaan antarabangsa.

“Menerusi sesi libat urus dua hala, kedua-dua negara turut bersetuju mempercepat proses penilaian dan pendaftaran peranti perubatan, memperkukuh pemantauan pasca pasaran serta meneliti semula keperluan berkaitan Sijil Jualan Bebas (CFS).

“Jepun turut menyokong pencalonan Malaysia sebagai APEC Center of Excellence (CoE) dan usaha memperkukuh harmonisasi pengawalseliaan peranti perubatan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan tersebut, MDA juga mengadakan pertemuan dengan syarikat Kaneka Medix Corporation dan SPHinX Inc. bagi meneroka peluang memperkenalkan teknologi perubatan inovatif ke Malaysia.

Menurut MDA, kerjasama itu berpotensi meningkatkan keupayaan rawatan dan diagnostik negara, di samping membuka peluang kepada pemain industri tempatan untuk memperluas penembusan ke pasaran global.

“Inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 ke arah memastikan akses yang lebih cekap kepada peranti perubatan yang selamat, berkesan dan berkualiti,” tambah kenyataan itu.

Memorandum ditandatangani Ketua Eksekutif MDA, Ts. Dr. Muralitharan Paramasua dan Ketua Pengarah MHLW Jepun, Naoki Miyamoto.

Pemeteraian itu berlangsung sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dari 8 hingga 10 Jun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.