
PUTRAJAYA, 22 Jun – Malaysia dan Bangladesh bersetuju memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama lebih menyeluruh.
- Perluasan kerjasama kepada perdagangan, pelaburan, penyelidikan, teknologi baharu, semikonduktor dan kecerdasan buatan.
- Pertemuan pemimpin mengukuhkan kepercayaan dan hubungan rapat; Bangladesh memilih Malaysia sebagai destinasi lawatan rasmi pertama.
- Memanfaatkan hubungan untuk mempercepat rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas dan memperkukuh perkongsian komprehensif dalam sektor strategik.
- Kerjasama sumber manusia: pekerja Bangladesh penting, perlu keutamaan kebajikan, layanan adil dan ketelusan proses pengambilan.
Ia termasuk bidang perdagangan, pelaburan, teknologi baharu, semikonduktor, kecerdasan buatan dan tenaga.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia.
“Kerjasama ini tidak hanya terhad kepada perdagangan dan pelaburan, meskipun bidang itu kekal penting, tetapi turut diperluas kepada penyelidikan, sains baharu, teknologi baharu, semikonduktor dan kecerdasan buatan, AI, kerana semua ini merupakan cabaran masa depan kepada rakyat kedua-dua negara,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh, di sini.
Menurut beliau, Malaysia menghargai keputusan Tarique memilih negara ini sebagai destinasi pertama lawatan rasmi beliau, yang disifatkan sebagai lambang kepercayaan dan hubungan rapat antara kedua-dua negara.
Datuk Seri Anwar berkata, hubungan diplomatik Malaysia dan Bangladesh mempunyai asas yang kukuh, termasuk peranan Malaysia sebagai antara negara terawal mengiktiraf Bangladesh.
Justeru, beliau berkata, kedua-dua negara perlu memanfaatkan hubungan itu bagi mempercepat rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas selain memperkukuh perkongsian komprehensif dalam pelbagai sektor strategik.
Mengulas kerjasama sumber manusia, Datuk Seri Anwar berkata, kehadiran pekerja Bangladesh penting kepada ekonomi negara, namun aspek kebajikan, layanan adil dan ketelusan proses pengambilan pekerja mesti diberi keutamaan.
Dalam pada itu, kedua-dua negara turut bersetuju meneroka kerjasama lanjut melibatkan PETRONAS dan Petrobangla dalam sektor LNG, selain industri halal, pendidikan, budaya dan pelancongan.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (AS$ 2.84 bilion).
Jumlah eksport Malaysia ke Bangladesh berjumlah RM10.08 bilion (AS$ 2.35 bilion) dengan produk petroleum menjadi barangan utama.
Jumlah import dari Bangladesh pula RM2.10 bilion (AS$ 0.50 bilion) dan sebahagian besar disumbangkan oleh tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh rakan dagang ke-28 terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM12.18 bilion, juga rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India.