Lonjakan pelancongan Sabah dorong naik taraf segera KKIA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memukul gong sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (kiri)

PENAMPANG, 30 Mei -Pertumbuhan pembangunan dan sektor pelancongan di Sabah yang melepasi unjuran semasa mendorong Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja menaik taraf KKIA dipercepatkan supaya kapasiti lapangan terbang dapat menampung pertambahan penumpang dan keperluan industri pelancongan.
  • Pembangunan Sabah perlu dipercepatkan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara dan era teknologi baharu.
  • Kerajaan memberi tumpuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ketara jumlah ketibaan pelancong ke Sabah memerlukan kemudahan sedia ada ditambah baik dan dipertingkatkan dengan segera bagi menampung permintaan semasa.

Beliau berkata, Sabah kini berada pada landasan pertumbuhan yang lebih pantas berbanding unjuran awal, sekali gus menjadikan negeri itu antara destinasi pelancongan paling menarik di negara ini.

“Unjuran biasa tidak menuntut kita untuk melebarkan prasarana begitu cepat tetapi pertumbuhan di Sabah ini melepasi unjuran biasa dengan pembangunan yang membanggakan.

“Begitu juga di Sarawak sudah menjadi tarikan tenaga dan kepintaran tenaga kecerdasan buatan (AI) yang menjadi tumpuan dunia selain daripada pusat-pusat yang lama di selangor atau di Kulim, Kedah,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini.

Tambahnya, kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dipercepatkan bagi memastikan kapasiti lapangan terbang itu mampu menampung pertambahan penumpang serta memenuhi keperluan industri pelancongan yang semakin berkembang.

Beliau turut menegaskan pembangunan Sabah perlu dipercepatkan agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara, khususnya dalam era teknologi baharu.

Jelasnya, kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak, supaya rakyat terima manfaat pembangunan secara lebih menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.