
BANGI, 7 Mei – Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian yang dilihat mampu menawarkan peluang kerjaya berpendapatan tinggi dalam sektor agrikomoditi negara.
- TVET pertanian perlu dijadikan pilihan utama untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir memenuhi keperluan industri.
- Penubuhan Skuad Agrikomoditi menghubungkan dasar kerajaan dengan realiti pekebun kecil, pengusaha dan komuniti luar bandar.
- Skuad akan digerakkan mengikut Parlimen dengan penglibatan aktif golongan muda, mahasiswa IPT serta institusi TVET dan pemain industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang TVET pertanian perlu dijadikan pilihan utama bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri.
Menurut beliau, lepasan TVET pertanian berpotensi memperoleh pendapatan melebihi kadar gaji minimum sekiranya memiliki kemahiran yang diperlukan industri.
“Kita mahu selain daripada mereka yang bernasib baik masuk ke universiti, lepasan SPM juga digalakkan menyertai TVET pertanian dengan peluang memperoleh gaji melebihi kadar gaji minimum.
“TVET bukan lagi pilihan kedua atau ketiga. Insya-Allah TVET akan menjadi pilihan utama anak-anak muda di negara kita.” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Agrikomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), hari ini.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata penubuhan Skuad Agrikomoditi KPK merupakan langkah memperkasa jaringan lapangan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan realiti sebenar yang dihadapi pekebun kecil, pengusaha serta komuniti luar bandar.
Katanya, skuad tersebut akan digerakkan secara berperingkat di setiap kawasan Parlimen dengan penglibatan aktif golongan muda termasuk mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
Skuad Agrikomoditi KPK merupakan platform sukarelawan dan pembangunan bakat yang menghubungkan golongan muda, pekebun kecil, institusi TVET, IPT serta pemain industri bagi memperkukuh sektor agrikomoditi negara.