MBPJ percepat pelan tebatan banjir

Hujan luar biasa cetus banjir kilat di Petaling Jaya – MBPJ

PETALING JAYA, 7 Mei – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempercepat pelaksanaan pelan tebatan banjir jangka panjang susulan kejadian banjir kilat akibat hujan luar biasa yang melanda beberapa kawasan di bandar raya itu pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan tindakan bersama JPS dirangka untuk kurangkan risiko banjir di kawasan kritikal sepanjang Sungai Penchala dan Sungai Klang.
  • Langkah tebatan termasuk pembinaan tembok banjir di Sungai Penchala dan pemasangan Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) di saliran utama.
  • Pemasangan injap di saliran kecil ke Sungai Klang dan kawalan pelepasan air premis supaya tidak disalurkan terus ke dalam sungai.
  • Hujan luar biasa dari hulu KL menyebabkan Sungai Penchala tidak mampu tampung aliran; Seksyen 51, 17, 19, Taman Medan, Sri Manja terjejas.

Dalam satu kenyataan, MBPJ memaklumkan, pelan tindakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dirangka bagi mengurangkan risiko banjir berulang terutama di kawasan kritikal sepanjang Sungai Penchala dan Sungai Klang.

“Langkah tebatan yang dirancang merangkumi pembinaan tembok banjir di kawasan kritikal Sungai Penchala selain pemasangan Sistem Kawalan Limpahan Sungai (SKaLiS) di saliran keluar parit utama.

“Turut dilaksanakan pemasangan injap di saliran keluar kecil menuju ke Sungai Klang serta kawalan pelepasan air premis supaya tidak disalurkan secara terus ke dalam sungai,” menurut kenyataan itu.

Menurut MBPJ, hasil pemantauan mendapati kejadian banjir kilat yang berlaku berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi bermula dari kawasan hulu di Kuala Lumpur dengan bacaan direkodkan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh singkat.

“Situasi itu menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung aliran air yang luar biasa, ditambah dengan fenomena aliran balik dari Sungai Klang yang telah mencapai kapasiti maksimum, sekali gus menjejaskan keupayaan sistem saliran bandar untuk mengalirkan air secara optimum,” menurut kenyataan sama.

Antara kawasan dikenal pasti terjejas termasuk Seksyen 51, Seksyen 17 dan Seksyen 19 di sepanjang koridor Sungai Penchala selain Taman Medan, Sri Manja dan Buana Perdana berhampiran Sungai Klang.