Konflik Asia Barat: Tambahan peruntukan Pasar Sejahtera Rakyat dipertimbang

Foto BERNAMA

KAMPUNG GAJAH, 7 Mei – Perak akan mempertimbang menambah peruntukan Pasar Sejahtera Rakyat sekiranya konflik Asia Barat berlanjutan dan terus memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri akan meneliti kenaikan harga bahan api dan kos input makanan dari semasa ke semasa.
  • Negeri menyerap sebahagian kos pengangkutan untuk memastikan harga jualan barangan keperluan kekal rendah.
  • Pasar Perak Sejahtera akan diperhebatkan di seluruh daerah dan 59 DUN bagi harga sekurang-kurangnya 5 peratus di bawah pasaran.
  • RM3.7 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif Langkah Mitigasi Krisis Asia Barat untuk April hingga Jun 2026.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata pihaknya akan meneliti situasi semasa termasuk kenaikan harga bahan api serta kos input makanan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyerap sebahagian kos pengangkutan bagi memastikan rakyat terus menikmati harga jualan lebih rendah khususnya bagi barangan keperluan seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.

“Kita akan memperhebat jualan Pasar Perak Sejahtera ke seluruh daerah dan juga melibatkan 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) agar rakyat dapat menikmati harga barangan di bawah harga pasaran sekurang-kurangnya 5 peratus,” katanya pada sidang media Program Hari Bertemu Petani, Penternak dan Nelayan @ DUN Kampung Gajah di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini memaklumkan, sebanyak RM3.7 juta telah diperuntuk bagi pelaksanaan inisiatif tersebut di seluruh negeri di bawah Langkah Mitigasi Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026.