Fisioterapi Tabung Haji bantu jemaah warga emas laksanakan ibadah haji

Masalah sakit otot, kekejangan dan keletihan fizikal

MEKAH, 7 MeiPerjalanan ibadah haji bukan sahaja menuntut kekuatan rohani, malah turut menguji ketahanan fizikal jemaah, khususnya dalam kalangan warga emas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Klinik Fisioterapi Tabung Haji di Mekah menerima 20 hingga 30 pesakit setiap hari, majoritinya jemaah warga emas dengan masalah otot dan keletihan.
  • Jurupulih menilai tahap kesakitan, menasihatkan penggunaan kerusi roda jika perlu supaya ibadah dapat diteruskan tanpa memburukkan keadaan.
  • Rawatan fisioterapi dan senaman regangan dapat kawal kebanyakan kes; jemaah diberi panduan senaman harian dan alat bantuan jika diperlukan.

Aktiviti seperti tawaf dan saie yang memerlukan pergerakan berterusan dalam tempoh lama, selain perjalanan jauh dari Malaysia ke Tanah Suci, menyebabkan sebahagian jemaah mengalami masalah seperti sakit otot, kekejangan dan keletihan fizikal.

Keadaan itu menyebabkan Klinik Fisioterapi Tabung Haji di Mekah menerima antara 20 hingga 30 pesakit setiap hari, dengan majoritinya terdiri daripada jemaah warga emas.

Menurut Jurupulih Perubatan Fisioterapi Tabung Haji, Azlinda Abdul Hamid, kebanyakan jemaah mengalami ketegangan otot akibat penggunaan tenaga berlebihan ketika melaksanakan ibadah.

Katanya, terdapat jemaah yang terpaksa berjalan dalam keadaan membongkok bagi menahan kesakitan terutama selepas selesai melaksanakan tawaf dan saie.

“Kami akan menilai keadaan jemaah mengikut tahap kemampuan mereka. Jika kesakitan terlalu tinggi, kami akan menasihatkan penggunaan kerusi roda bagi memastikan ibadah dapat diteruskan tanpa memburukkan keadaan kesihatan mereka.” ujar beliau

Beliau berkata, kebanyakan kes masih boleh dikawal melalui rawatan fisioterapi dan senaman regangan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat tahan sakit.

Tambahnya, jemaah turut diberi panduan melakukan senaman regangan bagi mengurangkan risiko kekejangan otot, selain penggunaan alat bantuan tertentu jika diperlukan.

“Kami menekankan senaman regangan supaya jemaah memahami cara penggunaan otot yang betul. Jika senaman tidak mencukupi, barulah kita gunakan alat bantuan yang boleh mengurangkan kesakitan.” katanya.

Pihak fisioterapi juga menekankan kepentingan amalan senaman harian bagi membantu mengurangkan risiko kecederaan otot, khususnya menjelang kemuncak ibadah haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina (Masyair).