Projek Solar Terapung Tasik Kenyir jadi tumpuan perkongsian teknologi Terengganu-Singapura

Perkongsian kepakaran, teknologi dan pengetahuan teknikal

KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Singapura menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan ekonomi baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkongsian kepakaran dan teknologi untuk pembangunan projek solar terapung di Tasik Kenyir, termasuk penilaian impak alam sekitar dan aspek teknikal.
  • Projek solar terapung kini fasa awal dengan kapasiti permulaan 600 megawatt dan rancangan peluasan berperingkat pada masa hadapan.
  • Kerjasama juga meliputi perkongsian pengetahuan mengenai pembangunan pelancongan dan pelabuhan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu Terengganu.

Antara fokus utama kerjasama tersebut ialah pembangunan projek solar terapung di Tasik Kenyir menerusi perkongsian kepakaran, teknologi dan pengetahuan teknikal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong sempena lawatan rasmi beliau ke Terengganu.

Menurut beliau, republik itu turut menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman dalam aspek teknikal termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) serta pembangunan projek solar terapung berskala besar.

Katanya, kerjasama tersebut membuka ruang kepada sesi perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi berkaitan kedua-dua pihak.

“Insya-Allah kita akan terus belajar dan memastikan segala perkara yang baik serta positif dapat diterapkan dalam projek-projek akan datang. Komitmen mereka lebih kepada pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan, khususnya berkaitan projek Kenyir kerana Singapura sendiri mempunyai pengalaman dalam pembangunan solar terapung.” katanya.

Beliau berkata, projek solar terapung di Tasik Kenyir kini berada pada fasa awal pembangunan dengan kapasiti permulaan sebanyak 600 megawatt dan dijangka diperluaskan secara berperingkat pada masa hadapan.

Selain sektor tenaga hijau, perbincangan turut menyentuh potensi pembangunan sektor pelancongan serta pelabuhan negeri yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu Terengganu.

Kerjasama ketika ini lebih tertumpu kepada aspek perkongsian pengetahuan dan perancangan teknikal sebelum diperhalusi kepada potensi pelaburan pada masa depan.