Sultan Sharafuddin kekal tidak perkenan aktiviti penternakan babi di Selangor

Foto BERNAMA

KLANG, 7 Mei – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkara itu pernah ditegaskan Sultan menerusi kenyataan media pada 10 Februari lalu.
  • Keputusan dibuat selepas menilai risiko pencemaran tanah, udara serta sumber air sungai akibat najis dan sisa kumbahan babi.
  • Aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai yang membekal air kepada kira-kira sembilan juta penduduk.
  • Kaedah penternakan moden memerlukan kos amat tinggi, tidak praktikal dan tidak mampu penuhi bekalan daging babi hanya untuk Selangor.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, perkara itu pernah ditegaskan Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan media pada 10 Februari lalu.

Keputusan tersebut dibuat setelah menilai risiko pencemaran tanah, udara serta sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

“Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Selangor sahaja,” katanya melalui kenyataan yang dikongsi melalui Facebook Selangor Royal Office.

Turut disertakan melalui muat naik sama poster tertera perkataan ‘Full Stop’ bersama foto Sultan Selangor.

Baginda juga bertitah bahawa penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dijalankan di negeri itu.

“Tanah negeri sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh,” titah Baginda lagi.

Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan sepenuhnya demi mengelak keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat terus terpelihara.