
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Isu berkaitan pembekalan misil antikapal dan serangan darat (NSM) oleh sebuah syarikat dari Norway telah dimaklumkan kepada jemaah menteri untuk penelitian lanjut.
- Perbincangan diplomatik Malaysia-Norway akan dilaksanakan untuk mencari jalan penyelesaian isu pembekalan.
- NSM merupakan komponen penting bagi kapal tempur pesisir TLDM dan aset strategik negara.
- Kementerian akan guna saluran diplomatik untuk mendapatkan penjelasan mengenai perubahan pendirian Norway tentang kelulusan eksport pertahanan.
- Kenyataan dibuat Timbalan Menteri Adly Zahari selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan 2026.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, perbincangan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Norway akan dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, pendekatan itu diambil berikutan misil tersebut komponen penting dalam keperluan aset strategik negara bagi kegunaan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

“Kita telah maklumkan kepada kabinet dan kita akan ambil langkah diplomatik antara kerajaan dengan kerajaan untuk melihat jalan penyelesaian kehadapan kerana kita tahu ia adalah sebahagian daripada keperluan aset negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyampaian Anugerah Pekhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan tahun 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini, memaklumkan kementeriannya mengambil maklum tentang perubahan pendirian kerajaan Norway berhubung kelulusan eksport pertahanan.
Beliau berkata, perubahan tersebut menjejaskan pelaksanaan kontrak berkaitan, justeru saluran diplomatik akan digunakan bagi mendapatkan penjelasan serta membincangkan langkah susulan yang sewajarnya.