
KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong menyatakan berpuas hati terhadap hubungan dua hala yang terjalin antara Singapura dan Malaysia, khususnya menerusi keakraban serta kerjasama erat antara kedua-dua Perdana Menteri.
- Pengukuhan kerjasama strategik antara Singapura dan Terengganu, dipacu oleh keakraban serta visi bersama pemimpin kedua negara.
- Tumpuan sektor termasuk tenaga baharu, teknologi tinggi, logistik dan pelancongan untuk membuka peluang ekonomi dan pelaburan baru.
- Kajian projek strategik seperti solar terapung, Silica Valley dan Laluan Rel Pantai Timur serta usaha memperkukuh keterhubungan pelancongan.
Beliau berkata, hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menjadi pemangkin penting kepada pengukuhan kerjasama strategik kedua-dua negara.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin turut berkongsi wawasan yang sama dalam meneroka pelbagai peluang baharu demi kepentingan bersama.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kuala Terengganu yang diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara Singapura dan Terengganu.
Antara sektor yang menjadi tumpuan perbincangan ialah tenaga baharu, teknologi tinggi, logistik serta pelancongan.
Beliau turut meninjau potensi beberapa projek strategik termasuk pembangunan Projek Solar Terapung Hidro Hibrid di Tasik Kenyir, Silica Valley serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Selain itu, peluang memperkukuh keterhubungan pelancongan antara Terengganu dan Singapura turut diberi perhatian.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kehadiran delegasi Singapura sebagai simbol hubungan erat dan tanggungjawab bersama antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, hubungan yang kukuh itu membuktikan bahawa dialog terbuka serta kepimpinan yang stabil menjadi asas penting dalam membina kerjasama bermakna walaupun terdapat perbezaan pandangan.
Katanya, pertemuan tersebut turut menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan secara terbuka selain meneroka peluang kerjasama lebih mendalam demi manfaat bersama serta komuniti ASEAN secara keseluruhan.