
KAJANG, 26 Mei – Lapan Pusat Pemeriksaan kenderaan Motor (PPKM) baharu bagi urusan pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian akan beroperasi mulai 16 Jun depan.
- Memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti.
- Memberi alternatif kepada PUSPAKOM bagi mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan sedia ada.
- Wujudkan kategori pusat pemeriksaan mini khusus untuk urusan tukar hak milik kenderaan persendirian.
- Operasi tertakluk kepada piawaian ketat JPJ termasuk infrastruktur, peralatan lengkap dan integrasi sistem MySIKAP.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Ia bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan berkualiti.
Langkah itu sekali gus memberi alternatif kepada pengguna selain Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Sebelum ini memang semua pemeriksaan ini juga dilaksanakan di PUSPAKOM dan menyebabkan selalunya kesesakan di pusat-pusat PUSPAKOM.
“Jadi, tahun lalu, kita di peringkat Kementerian Pengangkutan telah membuat satu lagi keputusan iaitu kita buka lagi satu kategori pusat pemeriksaan.iaitu pusat-pusat pemeriksaan yang mini, yang hanya boleh buat untuk kenderaan pesendirian”, katanya demikian dalam Sidang Media selepas melancarkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) Carro Technology Sdn Bhd disini.
Lapan Pusat Pemeriksaan itu akan mula beroperasi di Glenmarie, Wangsa Melawati, Kajang, Klang, Bayan Lepas, Melaka, Muar dan Johor Bahru.
Tambahnya, operasi pusat pemeriksaan berkenaan tertakluk kepada syarat dan piawaian ketat ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan lengkap serta integrasi sistem operasi dengan MySIKAP.
Kerajaan turut menggalakkan lebih banyak syarikat memohon lesen pusat pemeriksaan berkenaan bagi memperluas perkhidmatan itu ke seluruh negara.